Maradona mahu Pochettino kendali Boca Juniors
Astro Arena
Disember 17, 2019 10:45 MYT
Disember 17, 2019 10:45 MYT
DIEGO Maradona mahu bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, menguruskan pasukan yang disifatkan sebagai kelab terbesar di dunia, Boca Juniors.
Sejak dipecat Spurs bulan lalu, Pochettino dikaitkan dengan Manchester United, Arsenal dan Bayern Munich.
Maradona yang merupakan ketua jurulatih kelab Superliga Argentina, Gimnasia y Esgrima La Plata, mencalonkan Pochettino untuk pulang ke tanah air dan mengemudi Boca yang sedang mencari pengendali baru selepas Gustavo Alfaro mengundurkan diri.
Selepas legenda Argentina dan Boca, Juan Roman Riquelme, kembali ke kelab itu sebagai timbalan presiden susulan pilihanraya bulan ini, Maradona ditanya jika dia mahu pulang membantu pasukan itu selepas dua musim mengendalikannya sebelum ini.
"Saya tidak akan ke Boca kerana telah berulang kali saya nyatakan, saya tidak bersetuju dengan mereka yang menguruskan kelab," katanya.
"Presiden, Jorge Amor Ameal, berada di sana dan ia satu malapetaka, disokong oleh timbalan presiden, Mario Pergolini, yang percaya dia mampu mengendalikan pasukan.
"Dan Riquelme, sebuah kelab tidak diuruskan dalam bilik persalinan. Ia lebih sukar berbanding menahan bola, melakukan hantaran atau sepakan percuma.
"Boca perlu mendapatkan pakar taktikal untuk beraksi. Tidak mudah untuk duduk di atas kerusi itu. Yang terbaik adalah Maradona.
"Namun, sekarang saya tidak akan pergi atas beberapa perkara tetapi saya mahu Pochettino. Anda perlu hubungi dan meyakinkannya untuk datang dan mengetuai kelab terbesar di dunia."
"Saya mahu berakhir dalam cara terbaik. Pertama, saya mahu selamatkan Gimnasia daripada penyingkiran, kemudian lihat nanti."
Boca kini menduduki tangga kedua Superliga, satu mata di belakang pendahulu, Argentinos Juniors, sambil Gimnasia berada di tangga ke-21 daripada 24 pasukan.
#Argentina
#Arsenal
#Bayern Munich
#Boca Juniors
#Diego Maradona
#dipecat
#Gustavo Alfaro
#Manchester United
#pengurus