Maradona mahu adakan mesyuarat tergempar dengan skuad Argentina

Israr Khalid
Jun 25, 2018 06:59 MYT
Maradona di Stadium Nizhny Novgorod di Rusia pada 21 Jun lalu. - REUTERS
DIEGO Maradona nyata berang dan kecewa dengan persembahan memalukan Argentina yang dibantai 3-0 oleh Croatia tempoh hari.
Enggan maruah negara terus dirobek, pemenang Piala Dunia 1986 Maradona meminta untuk diadakan masyuarat tergempar bersama skuad La Albiceleste sebelum perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D menentang Nigeria pada Selasa ini – yang wajib mereka menangi.
Kata Maradona, amat tidak wajar untuknya berdiam diri memeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu kepada pasukan yang menjadi darah dagingnya itu.
"Saya amat berang dan sangat kecewa, kerana sesiapa pun yang pernah menyarung jersi itu tidak pernah menyangka ia dipermainkan sedemikian oleh pasukan Croatia yang bukan pasukan Jerman, Brazil, yang bukan Belanda atau Sepanyol.
"Kami akan mempertahankan maruah kami," kata Maradona kepada saluran televisyen Venezuela, Telesur.
BACA: Kesukaran Argentina akibat pasukan, bukan hanya Messi - Hierro
BACA: Messi bukan pemimpin, dia bukan Ronaldo, kata Petit
Pada masa sama, Maradona, 57, turut lantang menyatakan bahawa segala episod buruk yang berlaku dalam skuad kebangsaan Argentina adalah berpunca daripada badan induk bola sepak negara itu sendiri, AFA.
"Semua orang hanya menerima sahaja apabila (Jorge) Sampaoli datang dengan komputer, dengan drone, dengan 14 kakitangan sokongan," ceritanya.
Argentina kini berada di dasar carta Kumpulan D selepas seri 1-1 dengan pendatang baharu, Iceland pada perlawanan pembukaan mereka sebelum dimalukan Croatia 3-0 pada Khamis.
Hanya dengan kemenangan ke atas Nigeria dapat memberikan nafas kepada Argentina untuk meneruskan perjuangan di Rusia, dengan syarat Iceland tewas kepada Croatia.
BACA: Malu Argentina kalah, penyokong tegar dipercayai bunuh diri
#Argentina #Diego Maradona #Piala Dunia #Piala Dunia AWANI #Raya Bola 2018
;