Maradona dakwa FIFA cuba main tipu
Astro Awani
Jun 22, 2014 10:22 MYT
Jun 22, 2014 10:22 MYT
Legenda bolasepak Argentina, Diego Maradona berang dengan FIFA selepas badan bolasepak dunia itu meminta tujuh pemain Costa Rica menjalani ujian dadah.
Ujian selepas perlawanan dengan Itali itu dibuat atas kebimbangan syarikat-syarikat penaja tidak akan membayar tajaan Piala Dunia 2014 sekiranya pasukan jaguh seperti Itali tidak layak ke pusingan kedua.
Costa Rica minggu lalu mengejutkan juara Amerika Selatan, Uruguay 3-1. Ia kemudian menumbangkang Itali 1-0 pada Jumaat. Kemenangan itu melayakan Costa Rica menyertai pusingan kalah mati 16 pasukan.
Di bawah peraturan FIFA, dua pemain setiap pasukan akan diuji dadah selepas perlawanan.
Bagaimanapun, media melaporkan lima lagi pemain Costa Rica turut dipanggil untuk diuji.
Maradona yang dihantar pulang semasa Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat kerana gagal ujian bahan terlarang menyelar tindakan FIFA sebagai "tidak hormat peraturan".
Beliau mendakwa pasukan Costa Rica diperiksa ketat kerana penaja "tidak akan membayar tajaan seperti yang dijanjikan" sekiranya pasukan ternama seperti Itali tersingkir.
"Kenapa tujuh pemain dari Costa Rica dan bukan tujuh dari Itali?" Kata Maradona.
Menurut laporan media yang sama, FIFA menjelaskan lima pemain tambahan itu adalah kerana mereka tidak diuji sebelum perlawanan.
Tetapi Maradona tidak puas hati dengan penjelasan itu. "Ini semua terjadi sebab ada orang yang tidak senang duduk apabila Costa Rica dan bukan pasukan besar yang layak (ke pusingan seterusnya) dan penaja tidak akan tunaikan janji.
"Saya tahu apa yang saya cakap kerana ia pernah jadi kepada saya.
"Tujuh pemain? Saya tidak pernah jumpa macam itu."
Dalam sebuah dokumentari mengenai dirinya, Maradona pernah meluahkan rasa jengkel yang teramat sangat kepada FIFA yang disifatkannya sebagai "penipu" dan "penyamun". -- Agensi