Manja Man pengendali baharu Kelantan FC

Sinar Harian
April 17, 2024 05:50 MYT
MANJA: Pemain-pemain Kelantan mempunyai semangat berlawan yang kuat, saya nak kembalikan pemain Kelantan di tempat sepatutnya. - Foto Sinar Harian
PENGENDALI baharu Kelantan FC, Manja Man percaya The Red Warriors (TRW) mampu kembali menjadi pasukan digeruni dan dihormati berdasarkan sejarah reputasi dimiliki kelab Pantai Timur tersebut sebelum ini.
Malah bekas pemain pertahanan era 80 dan 90-an yakin negeri Cik Siti Wan Kembang itu memiliki bakat muda yang mampu dibentuk menjadi pemain bernilai bagi tujuan tersebut.
“Pemain-pemain Kelantan mempunyai semangat berlawan yang kuat. Saya nak kembalikan pemain Kelantan di tempat sepatutnya Insya-ALLAH.
"Kita pulihkan team dahulu dalam saingan A1 AFL Liga Semi Pro sebelum berjuang semula di pentas Liga Super 2025/26," katanya.
Sebagai rekod, Manja sebelum ini berpengalaman melatih pasukan Perlis Liga Super 2006, lebih memilih anak-anak tempatan percaya jiwa kenegerian mampu mengatasi motivasi semangat berpasukan
Malah beliau menekankan elemen penting yang menjadi pilihannya adalah pemain yang mempunyai kemahuan untuk sentiasa memajukan diri.
Kelantan FC sebelum kekal di peta bola sepak negara apabila bakal menyahut cabaran dalam kalangan 16 kelab lain bagi saingan Kejuaraan Liga MBSB Bank 2024/25.
Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan penyertaan The Red Warriors (TRW) dalam saingan liga tahap tiga itu tersebut yang menyingkap tirai pada 1 Jun depan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu disahkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah AFL yang berlangsung secara atas talian.
“Secara rasmi 16 pasukan ini adalah Armed Forces FC, Harini Selangor FT, Imigresen FC, Malaysian University, Melaka FC, YPM FC, Manjung City FC, PIB Shah Alam FC.
“Turut menyahut cabaran adalah Bukit Tambun FC, Machan FC, Gombak FA, Bunga Raya FC, KL Rovers, UiTM United, Kelantan FC dan Putrajaya Athletic FC,” katanya. - Sinar Harian
#manja man #Kelantan FC #The Red Warriors #Liga Bolasepak Amatur
;