Mandi ais banyak manfaat kepada atlet, namun ada risikonya!
Zulkhairi Azam
Ogos 4, 2024 17:45 MYT
Ogos 4, 2024 17:45 MYT
DALAM dunia sukan yang kompetitif, setiap atlet mencari cara untuk meningkatkan prestasi dan mempercepatkan pemulihan. Salah satu praktik yang semakin popular adalah mandi ais, atau lebih dikenali sebagai ‘cryotherapy’.
Kita akan lebih nampak praktik ini banyak dibuat terutamanya semasa kejohanan-kejohanan sukan berlangsung, contohnya seperti kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak nanti.
Mandi ais telah menjadi ritual penting bagi ramai atlet profesional, tetapi apakah manfaat dan kesan sebenar praktik ini? Dan betulkah praktik mandian ais yang kita buat selama ini?
Mandi ais ini sebenarnya adalah melibatkan rendaman dalam air yang sejuk, biasanya suhu sekitar 10-15 darjah Celsius, dan dilakukan selama 10-15 minit sahaja tidak lebih dari itu.
Tujuannya adalah untuk mengurangkan keradangan dan keletihan otot selepas latihan yang intensif atau pun selepas perlawanan sukan.
Menurut kajian oleh Roberts et al. (2020) dalam Journal of Sports Medicine, mandi ais boleh membantu mengurangkan kesakitan otot yang tertunda (Delay Onset Muscle Soreness-DOMS) dan mempercepatkan pemulihan otot.
Kajian tersebut juga mendapati bahawa rendaman dalam air sejuk dapat mengurangkan aliran darah ke kawasan yang direndam, mengurangkan keradangan dan pembengkakan. Apabila tubuh kembali kepada suhu normal, aliran darah akan meningkat, membawa oksigen dan nutrien yang diperlukan untuk memperbaiki tisu yang rosak.
Proses ini dipercayai dapat mempercepatkan pemulihan dan mengurangkan keletihan otot, serta dapat memberi efek relaksasi.
Namun begitu, terdapat beberapa risiko yang perlu dipertimbangkan. Bila mandian ais ini sudah ramai yang buat dan menjadi trend, maka ramai juga yang melakukannya dengan cara yang salah dan tidak selamat.
Rendaman dalam air yang sangat sejuk boleh menyebabkan penurunan suhu badan yang drastik, dan berbahaya jika tidak dilakukan dengan betul. Ini sering terjadi apabila kita gagal memantau dan memastikan suhu mandian ais tersebut perlu berada dalam kadar yang dicadangkan (10-15 darjah Celsius).
Malahan, ada yang beranggapan lagi sejuk suhu tersebut maka lagi banyak faedah yang kita oleh dapat dan malangnya, ada pula pihak mendakwa ia boleh membina kekuatan mental. Ini adalah fahaman atau mitos yang salah dan tidak berasas sama sekali, malahan tidak dipersetujui dalam dunia perubatan sukan dan kajian-kajian yang berkaitan.
Sebab itu pentingnya untuk pastikan kita merujuk kepada sumber yang tepat dan betul, bukan berpandukan kepada cakap-cakap orang. Kalau hendak lagi selamat, tidak perlu pun untuk capai suhu optimum, cukup sekadar jika air mandian itu terasa sedikit sejuk yang tidak melampau.
Adalah sangat disarankan untuk membeli alat termometer yang berkualiti agar dapat kita periksa suhu mandian ais yang optimum demi menjaga keselamatan atlet dan diri sendiri.
Pada peringkat awal mandian ais, masuk dengan perlahan-lahan dan tambah ais secara berperingkat supaya badan kita boleh laraskan dengan suhu tersebut. Pastikan anda minum air secukupnya serta sediakan tuala/selimut besar yang kering.
Semasa membuat mandian ais, kawal pernafasan anda supaya berada dalam keadaan yang tenang, dan jangan sesekali rendam kepala anda sepenuhnya ke dalam mandian ais tersebut. Ini akan menyebabkan masalah tekanan darah yang akan turun mendadak dan boleh mengakibatkan komplikasi lain.
Setelah selesai rendaman selama 10-15minit, pastikan anda membuat sedikit regangan badan untuk membantu pergerakan otot dan peredaran darah yang lebih lancar.
Seperti kebanyakan kaedah pemulihan, keseimbangan dan moderasi adalah kunci. Atlet dan jurulatih perlu mempertimbangkan keperluan individu dan situasi spesifik sebelum mengintegrasikan mandi ais ke dalam rutin pemulihan mereka.
Penting untuk memahami tubuh sendiri dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan sukan sebelum mencuba kaedah pemulihan seperti mandi ais ini. Tidak semua orang sesuai untuk kaedah sebegini kerana secara fisiologinya setiap manusia ini berbeza.
Akhir kata, mandi ais adalah salah satu cabang dalam kaedah pemulihan atlet. Walaupun terdapat bukti yang menyokong manfaatnya, penting untuk melihat praktik ini dalam konteks yang lebih luas dan memahami bahawa ia bukan satu-satunya cara untuk mencapai pemulihan yang optimum.
Pengetahuan dan pendekatan yang holistik terhadap pemulihan dan prestasi atlet adalah kunci untuk mencapai kejayaan jangka panjang dalam sukan.
* Dr Zulkhairi Azam ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.