Manchester United tersungkur di kaki Olympiakos

Astro Arena
Februari 26, 2014 05:00 MYT
David Moyes menggambarkan aksi Manchester United ketika tewas 2-0 kepada Olympiacos sebagai yang terburuk dalam saingan Eropah mereka musim ini.
Alejandro Dominguez dan Joel Campbell menyumbat gol buat tuan rumah dalam perlawanan yang menenggelamkan penyandang juara BPL itu sepanjang malam.
Sungguhpun saingan Eropah masih baru buat Moyes, namun pasukannya gagal mempersembahkan prestasi meyakinkan sebagai mana mereka muncul sebagai juara Kumpulan A dengan rekod tanpa kalah.
"Ini persembahan terburuk kami dalam Eropah. Sudah pasti ini merupakan persembahan yang cukup hambar malam ini," kata Moyes selepas perlawanan.
"Kami tidak pernah mendapat rentak sejak awal permainan dan tidak berhak untuk apa pun berikutan cara kami beraksi.
"Kami gagal memperterjemahkan apa pun dan tiada seorang pun beraksi dengan baik. Kami gagal pada malam ini.
"Kami turun dengan prestasi baik, mental yang bagus tetapi itu tidak menjadi.
"Saya terkejut. Saya tidak nampak kami mencapai tahap permainan kami.
"Saya rasa kami tidak patut dikalahkan dua gol, tapi kami tidak mencipta peluang untuk menjaringkan gol."
Moyes mengharapkan kebangkitan pasukannya di Old Trafford apabila perlawanan timbal balik bersambung pada 19 Mac depan.
"Pemain terluka kerana mereka sedar bagaimanapun prestasi mereka. Kami perlu bangkit bersama-sama.
"Perlawanan kedua masih ada, Old Trafford pernah membuktikan beberapa perlawanan hebat di masa lalu dan saya berharap ia akan berlaku lagi."
Klik di sini untuk melanggan pakej sukan Astro, atau hubungi 1300 82 3838 sekarang!
#Champions League #EPL #Manchester United #Olympiakos