Manchester United tanggal poster Cristiano Ronaldo daripada Old Trafford

Bernama
November 17, 2022 10:57 MYT
Ronaldo digugurkan daripada skuad perlawanan Liga Perdana menentang Chelsea pada Minggu ke-13 apabila pengurus Erik Ten Hag menghukumnya kerana meninggalkan Old Trafford semasa pertemuan dengan Tottenham Hotspur pada hari perlawanan ke-12.
ISTANBUL: Manchester United menanggalkan poster Cristiano Ronaldo dari bahagian luar stadium Old Trafford pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pekerja di kawasan kelab bola sepak itu dilihat menanggalkan poster besar itu, yang turut memaparkan bekas pemain bola sepak David Beckham, susulan temu bual dengan Piers Morgan di TalkTV yang berpangkalan di UK.
Ronaldo digugurkan daripada skuad perlawanan Liga Perdana menentang Chelsea pada Minggu ke-13 apabila pengurus Erik Ten Hag menghukumnya kerana meninggalkan Old Trafford semasa pertemuan dengan Tottenham Hotspur pada hari perlawanan ke-12.
Superstar berusia 37 tahun itu kemudian kembali berlatih bersama pasukan utama.
Ronaldo menghadiri temu bual dengan Morgan pada Isnin dan berkata beliau berasa dikhianati oleh Manchester United dengan mendakwa Ten Hag cuba memaksanya keluar daripada pasukan.
Pemenang Ballon d'Or lima kali itu kini beraksi bagi kali kedua bersama Manchester United selepas bermain untuk Real Madrid dan Juventus selama beberapa musim.
Ronaldo menjadi pemain pertama dalam sejarah yang merekod 700 gol bulan lepas apabila menjaringkan gol menentang Everton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.
-- BERNAMA
#Cristiano Ronaldo #Manchester United #temu bual dengan Piers Morgan di TalkTV #Erik ten Hag
;