Manchester United serap Benni McCarthy dalam barisan kejurulatihan
Astro Arena
Julai 31, 2022 10:38 MYT
Julai 31, 2022 10:38 MYT
MANCHESTER United mengesahkan pelantikan Benni McCarthy dalam barisan kejurulatihan pasukan utama untuk membantu Erik ten Hag menghadapi musim baru.
Bekas penyerang Porto, Ajax, Blackburn Rovers dan West Ham itu merupakan peminat United pada zaman kanak-kanaknya dan akan menggunakan kepakarannya dalam sistem permainan menyerang dan menguasai permainan.
McCarthy sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih kelab Afrika Selatan, AmaZulu, sebelum melepaskan jawatannya itu pada Mac lalu sebaik membimbing pasukan berkenaan meraih kedudukan terbaik sepanjang pembabitan mereka, iaitu di tangga kedua sekali gus menyaksikannya diangkat selaku Jurulatih Terbaik Liga Perdana Afrika Selatan pada musim 2020-21.
"Saya menyokong Man United dan sentiasa mahu beraksi untuk mereka. Saya menggemari pemain seperti Mark Hughes, Andy Cole dan Ryan Giggs," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab.
Pelantikan jurulatih berusia 44 tahun itu -- menyertai Mitchell van der Gaag, Steve McLaren, Eric Ramsay dan Darren Fletcher -- melengkapkan pasukan sokongan Ten Hag menjelang kempen sulungnya di Old Trafford.
Prestasi pra-musim United makin meyakinkan sejak membelasah Liverpool dan memperoleh kemenangan ke atas Melbourne Victory dan Crystal Palace, sebelum seri dengan Aston Villa.
Pasukan Ten Hag itu turut menewaskan Atletico Madrid 1-0, malam tadi, dan akan menghadapi perlawanan pemanas badan terakhir menentang Rayo Vallecano, malam ini.
Kempen United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bermula di tempat sendiri berdepan Brighton & Hove Albion, hujung minggu depan.