Manchester United sah lantik Ten Hag sebagai pengurus baharu

Astro Arena
April 22, 2022 14:47 MYT
Ketua jurulatih Ajax berusia 52 tahun itu diumumkan sebagai pengganti kepada Ralf Rangnick menduduki kerusi panas di Old Trafford. - Stadium Astro
MANCHESTER UNITED mengesahkan bahawa Erik Ten Hag akan mengambil alih tugas sebagai pengurus baru pasukan utama mereka selepas penghujung musim ini.
Selepas berbulan-bulan berteka-teki, ketua jurulatih Ajax berusia 52 tahun itu diumumkan sebagai pengganti kepada Ralf Rangnick menduduki kerusi panas di Old Trafford usai tamat kempen hambar The Red Devils musim ini.
Dengan Rangnick akan beralih kepada tugas sebagai perunding di kelab itu, Ten Hag bersetuju untuk mengikat kontrak sehingga Jun 2025 dengan pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.
Ten Hag, yang pengambilalihannya bergantung kepada isu visa, berkata dalam laman web rasmi United: "Ia merupakan satu penghormatan yang besar untuk dilantik sebagai pengurus Manchester United dan saya amat teruja dengan cabaran yang menanti saya.
"Saya mengenali sejarah kelab hebat ini dan kegilaan penyokongnya, dan saya amat berazam untuk membangunkan sebuah pasukan yang berkemampuan untuk membuahkan kejayaan selayaknya mereka.
"Amat sukar untuk meninggalkan Ajax selepas tahun-tahun yang hebat dan saya boleh memastikan kepada penyokong kami mengenai komitmen penuh saya dan fokus untuk menamatkan musim ini dengan kejayaan sebelum saya berpindah ke Manchester United," katanya.
Ten Hag memenangi dua gelaran Eridivisie dan Piala KNVB sejak menyertai Ajax pada 2017 dan berharap dapat meninggalkan kelab itu dengan gelaran liga ketiga dalam beberapa minggu ini, di mana pasukan gergasi Amsterdam itu kini sedang mendahului pasukan di tangga kedua, PSV, dengan empat mata.
United, dalam pada itu, telah melalui lima musim tanpa sebarang kejuaraan utama menjelang ketibaan Ten Hag.
#Manchester United #Erik ten Hag #ketua jurulatih #Ajax
;