Manchester United merintih tercicir mata
Astro Arena
Ogos 22, 2021 05:43 MYT
Ogos 22, 2021 05:43 MYT
SOUTHAMPTON 1 MAN UTD 1
Mason Greenwood berasakan gol Southampton tidak seharusnya diiktiraf selepas Manchester United hanya mampu seri 1-1 di St Mary's.
The Saints memimpin perlawanan itu sebentar tadi berikutan jaringan sendiri Fred selepas rembatan Che Adams terpesong daripada pemain tengah tersebut sebelum menerjah ke sudut gawang selepas setengah jam permainan.
Greenwood kemudian menyamakan kedudukan menerusi gol keduanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, namun The Red Devils buntu untuk mencipta kemenangan.
Bruno Fernandes jelas berang apabila tidak diberikan sepakan percuma atas kekasaran Jack Stephens sebelum jaringan pembukaan tuan rumah itu tetapi pengadil, Craig Pawson, dan video bantuan pengadil (VAR) tidak menyebelahi mereka.
Greenwood berasakan United telah berdepan satu keputusan yang tidak adil.
Penyerang itu memberitahu BBC's Match of the Day: "Saya rasa terjahan itu datang dari belakangnya. Saya fikir ia adalah pelanggaran tetapi keputusan terletak di tangan pengadil dan kami sukar menerimanya.
"Saya faham ia akan mengundang pihak lawan untuk melakukan lebih banyak terjahan sepanjang permainan ini dan ia merupakan sesuatu yang menarik, tetapi jika kekasaran berlaku maka ia tetap satu kekasaran."
Satu mata yang dipungut United itu memastikan mereka melebarkan rekod 27 perlawanan tanpa kekalahan di tempat lawan untuk menyamai catatan yang dilakar Arsenal di antara April 2003 hingga September 2004.
Bagaimanapun, Greenwood berpendapat pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu sepatutnya mampu memungut mata penuh.
Pemain berusia 19 tahun itu berkata: "Timbul sedikit kekecewaan. Saya fikir kami sepatutnya memenangi tiga mata menerusi gol lewat permainan. Southampton mempamerkan prestasi yang baik.
"Mereka bertahan dengan baik tetapi saya fikir kami wajar menang sejurus menyamakan kedudukan tetapi malangnya kami masih tidak dapat menggapainya."
#Manchester United
#Southampton
#VAR
#pengadil
#Bruno Fernandes
#Liga Perdana Inggeris
#EPL
#sepakan percuma
#kekasaran
#Jack Stephens
#Mason Greenwood