Manchester United lanjutkan kontrak pemain
Sinar Harian
Disember 26, 2022 08:00 MYT
Disember 26, 2022 08:00 MYT
MANCHESTER United melanjutkan kontrak setahun empat pemain pasukan utama, termasuk penyerang England, Marcus Rashford, kata pengurus Erik ten Hag.
Rashford, Diogo Dalot, Fred dan Luke Shaw semuanya berada di tahun terakhir perjanjian, namun mempunyai pilihan melanjutkan kontrak masing-masing selama 12 bulan.
Rashford menemui semula prestasinya musim ini dibawah ten Hag, bermain 20 perlawanan dalam semua pertandingan dan menjaringkan sembilan gol.
Dalot, Fred dan Shaw pula masing-masing membuat lebih daripada 15 penampilan dalam semua pertandingan.
"Ya, saya boleh mengesahkannya. Kami gembira kerana skuad menuju ke arah yang tepat dan pemain tersebut mempunyai sumbangan besar ke arah itu.
"Kami mahu berkembang dan mahu menyokong pemain tersebut serta mahu mereka terus berada dalam proses pembentukan pasukan.
"Jadi, itulah sebabnya kami membuat keputusan ini, saya pasti ia adalah keputusan tepat. Kami mahu membina pasukan untuk masa depan, jadi untuk tahun yang lebih lama, dan pemain itu perlu menjadi sebahagian daripadanya," kata ten Hag di laman web kelab.
Sementara itu, penjaga gol David de Gea, yang juga dalam tahun terakhir kontraknya mempunyai pilihan sama untuk lanjutan, masih belum mencapai persetujuan dengan kelab berkenaan.
Ten Hag sebelum ini pada Oktober berkata, dia berharap pemain Sepanyol itu akan kekal di Old Trafford.
United, yang berada di tempat kelima dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris, akan berdepan Nottingham Forest pasukan tempat ke-18 pada Rabu. - Sinar Harian