Manchester United dibaham Wolves sekali lagi
Ian Johan Ariff
April 3, 2019 09:56 MYT
April 3, 2019 09:56 MYT
MANCHESTER UNITED gagal menebus kekalahan kepada Wolverhampton Wanderers selepas kalah sekali lagi kepada pasukan itu dengan jaringan yang sama pada Selasa malam.
Walaupun United mendahului seawal minit ke-13 menerusi jaringan pertama Scott McTominay untuk kelab itu, Diego Jota berjaya menyamakan kedudukan buat skuad tuan rumah pada minit ke-23.
Pengadil perlawanan Mike Dean kemudian melayangkan kad merah kepada kapten pasukan Red Devils, Ashley Young pada minit ke-57 selepas melakukan kesalahan kad kuning kedua.
Wolves memanfaatkan peluang United yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, dengan mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-77 menerusi jaringan sendiri Chris Smalling.
Barisan pertahanan United gagal mengeluarkan bola hantaran silang yang dibuat Joao Moutinho sebelum ia melepasi garisan akibat terkena Smalling.
Sebelum itu, McTominay mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua dalam babak kedua namun tandukannya di hadapan gol berjaya diselamatkan penjaga gol Wolves, Rui Patrício.
Wolves juga merupakan pasukan yang menyingkirkan United dari saingan Piala FA dengan jaringan yang sama.
Kekalahan menyaksikan United kekal di tangga kelima liga dengan 61 mata, keputusan yang mengecewakan beberapa hari selepas Ole Gunnar Solskjaer diberi tanggungjawab sebagai pengurus tetap kelab itu.
Wolves pula kekal di tempat ketujuh dengan 47 mata.
#Chris Smalling
#Diego Jota
#EPL
#Joao Moutinho
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester United
#Ole Gunnar Solskjaer
#Rui Patr cio
#Scott McTominay
#Wolverhampton Wanderers
#Wolves