Manchester United buat 'pengumuman pramatang' pelantikan Solskjaer

Israr Khalid
Disember 19, 2018 15:52 MYT
Selepas 10 tahun karier gemilangnya bermain di Old Trafford berakhir dengan 128 gol dalam 367 penampilan, Solskjaer kekal bersama United sebagai jurulatih penyerang sebelum mengambil alih pasukan simpanan. - Gambar fail
MANCHESTER United secara tidak sengaja telah memuat naik berita mengenai pelantikan pengurus interim sehari selepas pemecatan Jose Mourinho pada Selasa.
Bekas pemain tengahnya, Ole Gunnar Solskjaer, 45, ‘disahkan’ akan mengambil alih buat sementara pengurusan skuad utama The Red Devils menerusi muat naik di laman web rasminya, manutd.com.
Entri itu merupakan sebuah video yang menunjukkan detik gol kemenangan United yang dijaringkan olehnya dalam final Liga Juara-Juara Eropah 1999 menentang Bayern Munich, dengan kapsyen “Solskjaer menjadi pengurus sementara kita, 20 tahun selepas merangkul Trebel dengan gol itu di Camp Nou.”
Bagaimanapun, entri tersebut pantas ditarik semula tidak lama selepas ia ‘terlepas’ ke internet, tetapi sempat mendapat reaksi daripada Perdana Menteri Norway sendiri, Erna Solberg. Tidak lama selepas United memadamkan entri itu, Solberg turut sama berbuat demikian.
Berdasarkan ‘pengumuman pramatang’ itu, nampaknya semua orang sudah mengetahui siapakah pengurus sementara Manchester United sementara melantik pengurus tetap yang baharu. Namun sebarang perubahan saat akhir mungkin berlaku, sehinggalah ia diumumkan secara muktamad oleh kelab.
Sementara di Twitterjaya, warganya mahu nama lain yang menduduki kerusi interim itu. Berdasarkan undian yang dibuat, 48 peratus daripada 1,965 yang mengundi memilih Ryan Giggs manakala Solskjaer dan legenda United, Eric Cantona di tempat kedua dengan 21 peratus.

Dan siapa pula sesuai jadi pengurus interim @ManUtd? Kalau nama tiada dalam senarai, sila reply & nyatakan.#BualBola #Bualan #gloryglorymanunited@bualbola @501Awani

— kataisrarkhalid (@kataisrarkhalid) December 18, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Giggs, 45, menjadi pilihan popular memandangkan pengalaman lamanya bersama United dari 1990 hingga 2014 sebagai pemain, juga pernah memegang tugas pengurus interim pada April 2014 susulan pemecatan David Moyes dari kerusi pengendali The Red Devils.
Semasa menjadi pengurus interim, Giggs melakar dua kemenangan, satu seri dan satu kalah dalam tempoh singkat di penghujung musim 2013/2014. Selepas perlawanan terakhirnya menentang Southampton yang berkesudahan 1-1, Giggs mengalirkan air mata dan menyatakan ia tempoh yang sangat tertekan dalam hidupnya untuk mengendalikan United.
Bagaimanapun ketika ini, Giggs sedang berkhidmat untuk tanah airnya, Wales sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan sejak Januari 2018, mengambil tugas daripada Chris Coleman yang beralih untuk mengendalikan kelab Inggeris, Sunderland.
Selepas 10 tahun karier gemilangnya bermain di Old Trafford berakhir dengan 128 gol dalam 367 penampilan, Solskjaer kekal bersama United sebagai jurulatih penyerang sebelum mengambil alih pasukan simpanan.
Dia kemudian pulang ke Norway untuk berkhidmat sebagai ketua jurulatih kelab tempatan, Molde pada 2011 dan memenangi dua gelaran bersama kelab tersebut.
Seterusnya Solskjaer kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris dengan mengendali Cardiff City, namun dipecat pada September 2014.
Solskjaer dijangka akan mengendalikan United untuk baki musim ini, sekurang-kurangnya untuk memperbaiki kedudukan kelab yang kini berada di tangga keenam, 11 mata ketinggalan dari penghuni tangga keempat, Chelsea untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
#bola sepak #eric cantona #Erna Solberg #Man United #Man Utd #Manchester United #MU #Old Trafford #Ole Gunnar Solskjaer #pengurus interim #Red Devils #Ryan Giggs
;