Manchester United berdepan dakwaan protes pengadil

Astro Arena
Oktober 19, 2022 11:55 MYT
Pengadil, Craig Pawson mencetuskan reaksi marah daripada penyerang The Red Devils itu termasuk rakan sepasukannya. - Stadium Astro
MANCHESTER UNITED didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) atas bantahan mereka selepas gol Cristiano Ronaldo ketika menentang Newcastle United dibatalkan.
Ronaldo dua kali merobek gawang lawan dalam babak kedua tetapi perlawanan masih berkesudahan seri tanpa jaringan di Old Trafford, Ahad lalu.
Gol awal pemenang Ballon d'Or lima kali itu dibatalkan kerana jelas ofsaid sebelum dia kemudiannya merampas bola ketika Newcastle bersedia untuk mengambil sepakan percuma, seterusnya menghasilkan jaringan.
Ronaldo menegaskan bola itu sudah dalam permainan berikutan Fabian Schar telah melakukan hantaran pendek kepada Nick Pope, yang mahu mengambil sepakan percuma.
Pengadil, Craig Pawson, tidak bersetuju dengan tindakan itu, sekali gus mencetuskan reaksi marah daripada penyerang The Red Devils berkenaan termasuk rakan sepasukannya.
Sembilan daripada 10 pemain -– kecuali Luke Shaw dan penjaga gol, David de Gea -– mengepung Pawson yang kemudiannya melayangkan kad kuning kepada Ronaldo.
Kenyataan FA pada malam tadi itu berbunyi: "Manchester United FC telah didakwa melanggar Peraturan FA E20.1 dalam perlawanan EPL menentang Newcastle United FC pada Ahad.
"Manchester United FC didakwa gagal memastikan tingkah laku tepat barisan pemainnya pada minit ke-49 perlawanan ini, dan kelab mempunyai masa hingga Khamis untuk memberi maklum balas." -- Stadium Astro
#Manchester United #Cristiano Ronaldo #gol dibatalkan #ofsaid
;