Manchester United bangkit ketinggalan dua gol ikat Everton di Goodison Park
Sinar Harian
Februari 22, 2025 05:15 MYT
Februari 22, 2025 05:15 MYT
Manuel Ugarte meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukan ketika perlawanan EPL antara Everton dan Manchester United di Goodison Park, Liverpool, Britain, 22 Feb 2025. REUTERS
MANCHESTER United bangkit ketinggalan dua gol untuk membawa satu mata keluar dari Stadium Goodison Park apabila mengikat Everton, 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Keputusan itu meneruskan persembahan tidak konsisten Manchester United nyaris dijinakkan Everton yang tampil lebih dominan dalam perlawanan tersebut.
Everton bimbingan David Moyes yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace di Stadium Selhurts Park pada 16 Februari lalu bermula garang.
Sebaliknya Manchester United kendalian Ruben Amorim yang dikecewakan 0-1 Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, 17 Februari lalu bermula agak longlai.
The Toffees terlebih dulu berada di depan hasil jaringan pemain dari Brazil, Beto pada minit ke-19.
Abdoulaye Doucoure kemudian melebarkan kedudukan dengan gol minit ke-33 untuk memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, The Red Devils meningkatkan tekanan ke atas Toffees yang tampak selesa dengan dua jaringan awal.
Hasilnya, Bruno Fernandes menyalakan talian hayat buat United dengan jaringan minit ke- 72 sebelum sentuhan Manuel Ugarte minit ke-80 menoktahkan gol penyamaan.
Pada 27 Februari, anak buah Amorim akan berdepan Ipswich Town di Stadium Old Trafford manakala Everton pula akan ke Stadium Komuniti Gtech Community menentang Brentford, pada 27 Februari. - Sinar Harian