Manchester United akan hentikan 150 hingga 200 lagi pekerja

Agensi
Februari 24, 2025 07:30 MYT
Manchester United dijangka memberhentikan antara 150 hingga 200 lagi pekerja sebagai langkah pengurangan kos selepas mengalami kerugian selama lima tahun berturut-turut, kata kelab itu.
MANCHESTER (ENGLAND): Manchester United dijangka memberhentikan antara 150 hingga 200 lagi pekerja sebagai langkah pengurangan kos selepas mengalami kerugian selama lima tahun berturut-turut, kata kelab itu pada Isnin.
United telah memberhentikan kira-kira 250 pekerja dalam gelombang penjimatan pertama tahun lepas selepas jutawan British, Jim Ratcliffe, membayar AS$1.3 bilion untuk memperoleh 25 peratus pegangan awal dalam kelab tersebut dan mengambil alih operasi bola sepaknya.
Kini, sebagai sebahagian daripada apa yang disebut United sebagai “pelan transformasi,” kelab itu “menjangkakan kira-kira 150 hingga 200 pekerjaan mungkin akan diberhentikan, tertakluk kepada proses perundingan dengan pekerja.”
“Kami mempunyai tanggungjawab untuk meletakkan Manchester United dalam kedudukan paling kukuh untuk menang dalam pasukan lelaki, wanita dan akademi kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif United, Omar Berrada.
“Kami sedang melaksanakan pelbagai langkah yang menyeluruh untuk mengubah dan memperbaharui kelab.
“Malangnya, ini bermakna mengumumkan kemungkinan pemberhentian pekerja tambahan dan kami amat kesal dengan kesan terhadap rakan sekerja yang terjejas. Walau bagaimanapun, keputusan sukar ini perlu diambil untuk meletakkan kelab kembali pada asas kewangan yang stabil.”
United menegaskan, mereka telah berusaha untuk “mengembalikan kelab kepada keuntungan selepas lima tahun berturut-turut mengalami kerugian sejak 2019.”
“Ini tidak boleh diteruskan,” kata Berrada.
“Dua keutamaan utama kami sebagai sebuah kelab adalah mencapai kejayaan di atas padang untuk peminat kami dan memperbaiki kemudahan kami. Kami tidak boleh melabur dalam matlamat ini jika kami terus mengalami kerugian kewangan.
“Pada akhir proses ini, kami akan mempunyai kelab bola sepak yang mampan dari segi kewangan, sambil terus menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada rakan kongsi komersial kami yang berharga.
“Kami kemudian akan berada dalam kedudukan yang jauh lebih kukuh untuk melabur dalam kejayaan bola sepak dan meningkatkan kemudahan untuk peminat, sambil mematuhi peraturan UEFA dan Liga Perdana.”
Selain daripada pengurangan pekerja, United turut menaikkan harga tiket paling rendah kepada 66 pound (RM367.49) di pertengahan musim, berbanding £40 (RM222.72) sebelum ini.
Di atas padang, United - juara Inggeris sebanyak 20 kali sedang mengalami salah satu musim paling sukar dalam generasi ini.
Pasukan itu kini berada di tempat ke-15 dalam Liga Perdana Inggeris yang mempunyai 20 pasukan, setelah tewas 12 daripada 26 perlawanan pertama dan hanya memenangi lapan perlawanan. - Agensi
#Manchester United #Manchester United hentikan pekerja #Manchester United rugi #Jim Ratcliffe
;