Manchester City sebelah tangan pegang trofi EPL?
Ian Johan Ariff
April 25, 2019 22:43 MYT
April 25, 2019 22:43 MYT
MANCHESTER CITY berada di landasan yang betul untuk mempertahankan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Manchester United 2-0 pada pagi Khamis.
Dengan baki tiga perlawanan lagi untuk musim ini, City berada di puncak liga dengan hanya satu mata di depan Liverpool.
Mampukah City bertahan di puncak dan menafikan kejuaraan gelaran liga utama Inggeris yang ditagih Liverpool?
Berdasarkan lawan kedua-dua pasukan bagi tiga perlawanan terakhir musim ini, City dan Liverpool mampu mengutip baki tiga mata maksimum.
Ia bakal menyaksikan City berjaya mempertahankan gelaran dengan mengumpul 98 mata dan Liverpool, 97 mata.
Di atas kertas, United adalah cabaran terakhir buat skuad bimbingan Pep Guardiola dengan baki perlawanan menentang pasukan bawahan seperti Burnley, Leicester City dan Brighton.
Burnley lawan Manchester City
Pertembungan pertama City dalam baki tiga perlawanan musim ini adalah menentang Burnley pada 28 April, jam 9:05 malam.
Skuad bimbingan Sean Dyche itu akan menerima kunjungan City di Turf Moor, kehilangan empat pemain berpengalaman yang belum pulih daripada kecederaan termasuk Peter Crouch, Phil Bardsley, Aaron Lennon dan juga Steven Defour.
Walaupun tonggak utama, Kevin de Bruyne cedera, anak buah Guardiola dijangka melakar kemenangan mudah di Turf Moor berdasarkan pada prestasi semasa selain berjaya membelasah Burnley 5-0 di Stadium Etihad pada Oktober tahun lepas.
Manchester City lawan Leicester City
Kemudian, City akan menentang Leicester City, pada 7 Mei jam 3 pagi di Stadium Etihad.
Leicester bimbingan bekas pengurus Liverpool, Brendan Rodgers mewarisi skuad yang berjaya menewaskan City 2-1 di Stadium King Power pada Boxing Day tahun lepas.
Dengan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, Leicester adalah pasukan terakhir yang mungkin mampu mencipta kejutan atau sekurang-kurangnya mencuri satu mata daripada perlawanan itu.
Brighton lawan Manchester City
Perlawanan terakhir City musim ini adalah menentang pendatang baru EPL, Brighton and Hove Albion pada 12 Mei jam 10 malam.
Brighton yang menduduki tangga ke-16 liga buat masa ini kemungkinan besar masih memerlukan tiga mata penuh untuk memastikan mereka terus selamat daripada tersingkir ke liga bawahan.
Bagaimana pula Liverpool?
Liverpool tidak mampu melakukan apa-apa lagi untuk merangkul kejuaraan ke-19 jika City tidak tercicir mata dan takdir bukan lagi di tangan mereka.
Baki tiga perlawanan ini adalah hanya untuk memberikan yang terbaik dan menjaringkan sebanyak gol yang mungkin untuk merapatkan juarang perbezaan gol dengan City.
Liverpool lawan Huddersfield
Kemenangan ke atas pasukan yang sudah tersingkir, Huddersfield Town pada awal pagi Sabtu amat penting untuk meneruskan tekanan kepada City selaku pendahulu liga.
Pertemuan dua pasukan ini pada Oktober tahun lepas menyaksikan Liverpool menang tipis 1-0 di Stadium John Smith, hasil jaringan Mohamed Salah.
Newcastle lawan Liverpool
Kemudian Liverpool akan bertandang ke St. James’ Park untuk menentang Newcastle, yang dibimbing oleh seorang lagi bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez.
Newcastle yang mencatat dua kemenangan berturut-turut selepas menewaskan West Ham United 2-0 dan Everton 3-2, sudahpun terselamat dari zon penyingkiran.
Kali terakhir dua pasukan ini bertemu, Liverpool membelasah Newcastle 4-0 di Anfield dan dijangka memperoleh kemenangan ke atas the Toons pada perlawanan yang akan berlangsung pada 5 Mei jam 2:45 pagi.
Benitez adalah salah seorang pengurus kesayangan penyokong Liverpool, selepas membimbing pasukan itu menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2005.
Namun pengendali Sepanyol itu sudah pasti mahu mencari kemenangan untuk meningkatkan reputasinya sebagai pengurus, memandangkan kontraknya akan tamat musim ini.
Liverpool lawan Wolverhampton
Perlawanan terakhir Liverpool menentang Wolverhampton Wanderers bakal menjadi penentu kepada kejuaraan adalah milik mereka ataupun tidak, jika City tercicir mata menentang Leicester.
Walaupun pendatang baru dalam EPL, Wolves sudahpun berjaya menumbangkan pasukan yang berada dalam kelompok enam yang terbaik, termasuk menyingkirkan Liverpool dari saingan Piala FA untuk dua musim ini berturut-turut.
Namun Liverpool berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Wolves di Stadium Molineux pada Disember tahun lepas.
Walaupun hanya kalah sekali musim ini, Liverpool hanya boleh menamatkan musim ini selaku juara liga utama Inggeris, jika berjaya memenangi kesemua baki perlawanan musim ini selain mengharapkan City tercicir mata pada salah satu baki perlawanan musim ini.
Berdasarkan undian di akaun Twitter Bual Bola Astro Awani, 53 peratus mahu melihat Liverpool muncul juara EPL musim ini.
Jadi, pasukan mana yang anda mahu lihat menjulang trofi EPL musim ini?