Manchester City kembali di kelompok empat terbaik
Sinar Harian
Disember 28, 2023 12:27 MYT
Disember 28, 2023 12:27 MYT
PENYANDANG juara Manchester City sekali lagi memberi isyarat mencabar kejuaraan apabila kembali berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Everton, 3-1 di Stadium Goodison Park pada Khamis.
Bagaimanapun anak buah Pep Guardiola yang masih segar dengan kejayaan merangkul trofi Piala Kelab Dunia di Arab Saudi baru-baru ini terlebih dulu ketinggalan separuh masa pertama hasil jaringan jarak dekat Jack Harrison pada minit ke-29.
Namun separuh masa kedua, City yang sebelum itu kehilangan tempat dalam perlumbaan kejuaraan selepas hanya meraih satu kemenangan dalam enam perlawanan liga kembali ke aksi domestik dengan bergaya.
Gol separuh masa kedua Phil Foden (m-53), Julian Alvarez (penalti m-64) sebelum jaringan Bernardo Silva (m-86) mengunci kemenangan ke-11 selepas mengharungi 18 perlawanan liga.
Sabtu ini anak buah Guardiola akan melayan kunjungan Sheffield United di Stadium Etihad sebelum menyingkap kempen Pusingan Ketiga Piala FA menentang Huddersfield Town pada 7 Januari.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian