Manchester City ikat bintang muda Argentina
Astro Arena
Januari 24, 2023 13:04 MYT
Januari 24, 2023 13:04 MYT
MANCHESTER City melengkapkan perpindahan pemain belia Argentina, Maximo Perrone, daripada Velez Sarsfield.
Pemain berusia 20 tahun itu dilaporkan telah menelan kos £8 juta (RM42.4j) untuk mencapai kesepakatan bersama City hingga Jun 2028.
Perrone hanya mula melakar namanya di Velez pada Mac tahun lalu, tetapi pemain tengah itu dengan pantas membuktikan dirinya sebagai sebahagian besar pasukan senior, malah sekali-sekala memakai lilitan kapten.
Kontraknya telah memasuki tahun terakhir dan walaupun City dikatakan membayar lebih daripada klausa pelepasannya yang bernilai £7j (RM37.1j), ia pasti menjadi lebih tinggi andai Velez berhasil memujuknya melanjutkan kontrak.
Perrone merupakan bintang terbaru Velez yang mendapat perhatian luas dalam tempoh enam tahun lalu selepas Thiago Almada, Matias Vargas, Santiago Caseres, Maxi Romero dan Nicolas Dominguez menjana pendapatan kira-kira £47j (RM249.4j) antara mereka.
Dia merupakan rekrut kedua City dari Argentina sepanjang tahun lalu selepas Julian Alvarez tiba dari River Plate di penghujung musim lalu.
Alvarez ditandatangani di pertengahan penggal lalu sebelum dipinjamkan semula ke River, namun tiada perjanjian sedemikian buat Perrone.
Dia akan menyertai dengan City serta-merta sebaik penyertaannya dalam Kejohanan B-20 Amerika Selatan di Colombia berakhir.
Perrone meledak gol dalam perlawanan pembukaan Argentina tetapi tidak dapat menyekat kekalahan 1-2 pasukannya kepada Paraguay.
Jika Argentina tidak tersingkir dalam perlawanan terakhir kumpulan Sabtu ini, maka Perrone dijangka melaporkan diri di City pada bulan depan.