Manchester City diam-diam tambah kekuatan sayap
Sinar Harian
Ogos 22, 2023 07:45 MYT
Ogos 22, 2023 07:45 MYT
JUARA Liga Perdana Inggeris, Manchester City mencapai persetujuan dengan kelab Ligue 1 Perancis, Rennes untuk menandatangani pemain sayap Jeremy Doku, lapor Sky Sports dan BBC pada Selasa.
Perjanjian itu bernilai 55.4 juta pound menurut laporan BBC, dengan pemain sensasi Belgium itu akan ke bandar raya Manchester untuk urusan penyelesaian pemeriksaan perubatan.
Bintang muda berusia 21 tahun yang terkenal dengan kelincahan itu menyertai Rennes pada Oktober 2020 dari gergasi Liga Belgium, Anderlecht.
Di Rennes, dia membuat lebih daripada 90 penampilan untuk gergasi Perancis itu dalam semua pertandingan dengan menjaringkan 12 gol.
Penyudah tajam Doku musim ini dijelmakan dengan sentuhan menjaringkan gol untuk Rennes dalam perlawanan pembukaan Ligue 1 menentang Metz di Stadium:Roazhon Park pada 13 Ogos lalu.
Perlawanan berintensiti tinggi itu menyaksikan armada Bruno Génésio membenam cabaran angkatan pelawat kendalian László Bölöni, 5-1, dengan Doku meledak jaringan pada minit ke-67.
Sebagai rekod, Doku mempunyai 16 penampilan bersama Belgium sebelum ini membuat penampilan sulungnya pada 2020.
Dia dipanggil menyertai skuad untuk Piala Dunia 2022 di Qatar tahun lalu, membuat satu penampilan di bangku simpanan sebelum Belgium tersingkir di peringkat kumpulan di temasya bola sepak berprestij dunia berkenaan.
Sebagai rekod, City kendalian Pep Guardiola giat mencari pemain untuk meningkatkan pilihan serangan juara treble itu selepas kehilangan penyerang Algeria, Riyad Mahrez.
Pemerhati bola sepak percaya dengan pembelian Doku secara tidak langsung memperkukuh kekuatan jentera juara liga ketika kelab itu tampil lebih tenang musim ini dalam pemburuan kejuaraan keempat berturut-turut.
City berada di tempat kedua dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris dengan enam mata daripada dua perlawanan akan bertandang untuk menentang Sheffield United yang baru dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan pada Ahad. - Sinar Harian