Manchester City buka kempen Piala Dunia Kelab berdepan Wydad AC
Sinar Harian
Disember 7, 2024 07:20 MYT
Disember 7, 2024 07:20 MYT
JUARA Liga Perdana Inggeris, Manchester City akan memulakan kempen Piala Dunia Kelab 2025 dengan perlawanan menentang kelab Maghribi, Wydad Athletic Club (AC) di Lincoln Financial Field, Philadelphia Amerika Syarikat (AS) pada 18 Jun tahun depan, kata badan induk bola sepak dunia FIFA pada Sabtu.
Piala Dunia Kelab, yang menampilkan pasukan terkemuka dari seluruh dunia, akan diadakan di 12 stadium seluruh AS dari 14 Jun hingga 13 Julai, juga venue latihan untuk Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama AS, Mexico dan Kanada.
City, kendalian Pep Guardiola yang memenangi Piala Dunia Kelab 2023 di bawah format lama, akan menentang Al Ain empat hari selepas perlawanan pembukaan, sebelum menentang gergasi Serie A, Juventus dalam perlawanan terakhir Kumpulan G pada 26 Jun.
Perlawanan pembukaan temasya 32 pasukan yang diperluaskan itu juga akan menyaksikan Lionel Messi bersama kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Inter Miami menentang Al Ahly dalam aksi Kumpulan A.
Perlawanan Inter Miami menentang Al Ahly akan berlangsung di Stadium Hard Rock, Miami Florida, akan menjadi satu-satunya perlawanan yang dimainkan pada 14 Jun.
“Jadual perlawanan ini lebih daripada senarai perlawanan mendebarkan melibatkan kelab terbaik dunia sekali gus menunjukkan bahawa bola sepak kelab boleh dan akan menjadi benar-benar global,” kata Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Sementara itu, antara perlawanan pembukaan kumpulan lain, kelab Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain akan berdepan pasukan La Liga Sepanyol, Atletico Madrid dalam pertembungan Kumpulan B pada 15 Jun, manakala jagoan Bundesliga Jerman, Bayern Munich menentang wakil New Zealand, Auckland City pada hari sama dalam Kumpulan C.
Sementara itu, juara Eropah, Real Madrid akan menentang Al-Hilal dalam Kumpulan H pada 18 Jun.
PIALA DUNIA KELAB 2025
Kumpulan A:
Palmeiras (Brazil), FC Porto (Portugal), Al Ahly (Mesir), Inter Miami (Amerika Syarikat).
Kumpulan B:
Paris Saint-Germain (Perancis), Atletico Madrid (Sepanyol), Botafogo (Brazil), Seattle Sounders (Amerika Syarikat)
Kumpulan C:
Bayern Munich (Jerman), Auckland City (New Zealand), Boca Juniors (Argentina), Benfica (Portugal).
Kumpulan D:
Flamengo (Brazil), Esperance Sportive de Tunisia (Tunisia), Chelsea (England), Club Leon (Mexico).
Kumpulan E:
River Plate (Argentina), Urawa Red Diamonds (Jepun), Monterrey (Mexico), Inter Milan (Itali).
Kumpulan F:
Fluminense (Brazil), Borussia Dortmund (Jerman), Ulsan (Korea Selatan, Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan).
Kumpulan G:
Manchester City (England), Wydad (Maghribi), Al Ain (Emiriah Arab Bersatu), Juventus (Itali).
Kumpulan H:
Real Madrid (Sepanyol), Al Hilal (Arab Saudi), Pachuca (Mexico), Red Bull Salzburg (Austria).