Mampukah Serena Williams julang Grand Slam ke-24?
Syafik Shukri Jalil
September 7, 2019 13:58 MYT
September 7, 2019 13:58 MYT
20 tahun lalu, jaguh tenis Amerika Syarikat (AS), Serena Williams cipta sejarah apabila merangkul Grand Slam pertamanya di usia 17 tahun menerusi Terbuka Amerika Syarikat (US Open).
Saat itu nama Williams mula meniti di bibir pemerhati dan peminat sukan tenis kerana dia berjaya mengetepikan jaguh wanita nombor satu dunia ketika itu, Martin Hingis.
Malah laluannya untuk ke final ketika itu juga agak sukar apabila terpaksa berdepan bintang tenis wanita terkemuka dunia seperti Lindsay Davenport dan Monica Seles.
Itu sejarah yang membuka laluan kepada perjalanan karier yang terus utuh sehingga ke hari ini.
Terkini dengan 23 trofi Grand Slam dalam genggamannya, Williams, 37, akan beraksi semula di pentas akhir bertemu bintang muda berusia 19 tahun dari Kanada, Bianca Andresscu bagi memburu gelaran ke-24.
Ini merupakan kemaraannya yang kedua di pentas akhir Jelajah Grand Slam 2019 untuk merangkul trofi
ke-24.
Sekiranya tuah menyebelahi adik kepada Venus Williams ini, dia bakal cipta sejarah sebagai atlet tenis wanita dalam Era Terbuka dengan pencapaian tertinggi kategori tersebut menyamai rekod lagenda tenis wanita dunia, Margaret Smith Court dari Australia.
Julai lalu Williams yang kini merupakan pemain nombor 8 dunia tewas kepada bintang Romania, Simona Halep di pentas akhir Wimbledon.
Berikut merupakan fakta menarik mengenai Serena Williams menjelang saingan akhir Terbuka Amerika Syarikat 2019;
- Kali pertama merangkul kejuaraan Terbuka AS pada 1999 ketika berusia 17 tahun.
- Kali terakhir julang trofi sama pada 2014 mengetepikan bintang Denmark, Caroline Wozniacski dengan
6-3, 6-3.
- Edisi tahun ini, Williams akan berdepan Bianca Andreescu dari Kanada yang lahir sembilan bulan selepas William menjuarai Terbuka AS pada 1999.
- Pernah merangkul kejuaraan sama sebanyak enam kali pada 1999, 2002, 2008, 2012, 2013 dan 2014.
- Pada final tahun 2001 dan 2002, menentang kakaknya, Venus Williams menyaksikan tahun 2001 kejuaraan milik Venus manakala Serena merampas gelaran juara pada 2002.
- Tahun 2015, Williams gagal meraih Golden Slam selepas tewas di pusingan separuh akhir Terbuka AS kepada bintang Itali, Roberta Vinci.
- Sekiranya Williams menjuarai Terbuka Amerika Syarikat pada tahun tersebut, dia akan menjadi pemain kedua selepas Steffi Graf yang pernah menjuarai keempat-empat Grand Slam Tournament pada tahun 1988.
- Merangkul Grand Slam ke-23 di Terbuka Australia pada Terbuka Australia 2017 menewaskan Venus Williams.
- Ketika jelajah tersebut berlangsung di Melbourne, Australia Serena mendapati dirinya hamil bayinya yang sulong yang kini berusia dua tahun, Alexis Olympia.
- Tahun lalu Williams turut mara ke pentas akhir namun tewas kepada bintang muda Jepun, Naomi Osaka dalam aksi yang dianggap penuh dramatik.
- Williams ketika itu tewas 6-2 dan 6-4 selepas berbalah dengan pengadil perlawanan, Carlos Ramos.
#Alexis Olympia
#Bianca Andreescu
#Carlos Ramos
#Grand Slam
#Kanada
#Martin Hingis
#naomi osaka
#Serena Williams
#Simona Halep
#tenis
#Terbuka Amerika Syarikat
#US Open 2019
#Venus Williams