Mampu lebih jauh jika ulangi prestasi di Masters Malaysia - Kai Wun

Bernama
Ogos 11, 2023 16:53 MYT
Kai Wun berkata walaupun ini adalah penampilan sulung mereka di Kejohanan Dunia, namun beregu di ranking ke-25 itu tidak mengalami tekanan dan berpeluang mara ke suku akhir jika mempamerkan aksi terbaik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gandingan negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun Kai yakin mampu melangkah lebih jauh pada saingan Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark sekiranya mereka mengulangi prestasi sama di Masters Malaysia 2023.
Kai Wun berkata walaupun ini adalah penampilan sulung mereka di Kejohanan Dunia, namun beregu di ranking ke-25 itu tidak mengalami tekanan dan berpeluang mara ke suku akhir jika mempamerkan aksi terbaik ketika mereka muncul naib juara kejohanan itu pada Mei lepas.
Beliau berkata walaupun berjaya mengekalkan kejuaraan Terbuka Taiwan selepas mengalahkan Lu Ching Yao-Yang Po Han, namun Kai Wun mengakui prestasi ketika saingan Masters Malaysia adalah yang terbaik setakat ini.
"Saya boleh katakan prestasi ketika Masters Malaysia lebih bagus kerana banyak gandingan 10 terbaik dunia menyertai kejohanan itu (berbanding Terbuka Taiwan).
"Kalau dapat main macam di Masters Malaysia, mungkin boleh pergi jauh...mungkin suku akhir atau separuh akhir," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan hari ini.
Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan sebagai bukan pilihan akan memulakan kempen Kejohanan Dunia 2023 berdepan wakil Perancis Lucas Corvee-Ronan Labar pada pusingan pertama.
"Kami sedang berusaha untuk meningkatkan prestasi dalam gelanggang kerana kami kurang menyerlah dalam tiga kejohanan yang lepas," katanya.
Selepas aksi cemerlang di Terbuka Taiwan, Wei Chong-Kai Wun mengalami kemerosotan prestasi apabila mereka tersingkir awal dalam tiga kejohanan berturut-turut iaitu Terbuka Korea Selatan, Terbuka Jepun dan Terbuka Australia.
Kejohanan Dunia 2023 akan berlangsung pada 21 hingga 27 Ogos di Royal Arena, Copenhagen, Denmark.
-- BERNAMA
#Man Wei Chong-Tee Kai Wun #kejohanan badminton #Denmark #prestasi #Masters Malaysia
;