Maloney taruh keyakinan tinggi prestasi skuad B-23 negara

Bernama
Mei 2, 2022 10:16 MYT
Antara aksi para pemain bola sepak kebangsaan B-23 negara ketika menjalani sesi latihan menjelang Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Mei ini, di Kompleks Sukan PKNS FC, Petaling Jaya, 30 Apr 2022. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan Brad Maloney menyifatkan kemenangan direkodkan skuad kendaliannya pada aksi terakhir perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-2 di Stadium UiTM, Shah Alam menentang Filipina B-23 semalam sebagai perkembangan positif.
Sambil menaruh keyakinan tinggi dengan keupayaan anak buahnya menjelang persiapan ke Sukan SEA, di Hanoi, Maloney berkata kesemua pemain telah menunjukkan kualiti permainan yang baik.
"Tujuan perlawanan persahabatan ini (diadakan) adalah untuk memastikan kesemua pemain berada bersama-sama selain (untuk) melihat kombinasi dalam kalangan mereka. Jadi menang atau kalah, perkara tersebut adalah perkara kedua perlu difikirkan.
"Apa yang penting prestasi ditunjukkan pemain dan saya melihat ada penambahbaikan dilakukan. Jadi ia satu petanda baik serta keputusan yang amat menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.
Dalam perlawanan secara tertutup tanpa penonton itu, kawalan permainan skuad negara tampak lebih seimbang dengan kehadiran beberapa pemain termasuk penjaga gol Kuala Lumpur City FC Muhammad Azri Ab Ghani.
Skuad negara mencipta jaringan pada babak kedua permainan hasil sepakan percuma Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-53.
Pasukan negara menambah kegembiraan menerusi gol kedua dijaringkan Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-65.
Mengulas lanjut, Maloney berkata kebanyakan pemain daripada senarai 31 orang yang dipanggil telah melapor diri secara berperingkat selepas selesai komitmen perlawanan bersama kelab masing-masing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Beliau berkata ini sekali gus memberikan keselesaan buatnya dalam merencana strategi sebagai bekalan menghadapi Sukan SEA nanti.
Selepas aksi bertemu Timor-Leste B-23 pada Jumaat lepas dan diikuti Filipina B-23, skuad muda Harimau Malaya akan terbang ke bumi Vietnam pada Rabu ini (4 Mei) bagi menghadapi saingan Sukan SEA.
-- BERNAMA
#Brad Maloney #skuad B-23 #Filipina #Sukan SEA
;