Malek Noor yakin Yakeb tidak akan tutup
Astro Arena
September 21, 2018 16:35 MYT
September 21, 2018 16:35 MYT
BEKAS jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, bersedia untuk mengambil alih jawatan pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) jika menerima persetujuan Menteri Belia dan Sukan menjelang mesyuarat agung tahunannya, 29 September ini.
Masalah dana yang berlaku dalam Yakeb jelas mengundang kritikan terhadap ahli lembaga pengarah badan berkenaan yang diketuai oleh pengerusinya, Azlan Iskandar.
Bantuan terhadap bekas atlet kebangsaan terpaksa dihentikan sejak bulan lalu ekoran masalah kehabisan dana.
Situasi itu mencetuskan perdebatan mengenai kemampuan Yakeb terus beroperasi atau barisan kepimpinan perlu dirombak.
"Banyak mesej yang saya terima mengenai Azlan tetapi saya tidak mahu berkata apa-apa atau mencemarkan namanya tetapi itu terpulang kepada dia sendiri untuk menjawab semasa mesyuarat agung nanti.
"Ada juga ahli-ahli yang menghubungi saya tetapi seperti saya katakan, ia terpulang kepada Azlan sendiri.
"Semua harus sabar dan saya yakin dana itu akan ada dan Yakeb tidak akan ditutup," kata Malek.
Dua bulan lalu, Nadi Arena melaporkan Yakeb berdepan masalah dana serius sehingga berdepan risiko untuk ditutup, lantas membuat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bertindak menghulurkan bantuan yang mampu bertahan sehingga hujung tahun ini.
Antara bekas atlet yang menerima bantuan Yakeb adalah pelumba basikal, Ishak Alwi, serta bekas penjaga gol hoki negara, Ahmad Fadzil Zainal Abidin.
#atlet negara
#kebajikan
#malek noor
#Menteri Belia dan Sukan
#Yakeb
#Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan