Malek Noor kecewa atlet bina badan cenderung ambil steroid

Bernama
Julai 19, 2016 17:25 MYT
MALEK: Semangat atlet dahulu kental dan tidak pernah pudar kerana ia tidak bertunjangkan kepada sifat materialistik.
Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Abdul Malek Noor kecewa dengan sikap segelintir atlet muda yang cenderung mengambil jalan pintas menggunakan dadah perangsang terlarang atau steroid untuk mencipta nama dalam sukan berkenaan.
Beliau berkata majoriti atlet sedar penggunaan steroid boleh menghancurkan masa depan mereka, namun tidak mengendahkannya.
Lebih malang, katanya penggunaan steroid tidak seratus peratus menjamin kejayaan seseorang atlet terbabit, malah akan 'membunuh' sukan bina badan negara itu sendiri.
"Mereka perlu jujur dan bersih daripada menggunakan bahan terlarang tersebut kerana kerajaan amat mengambil berat terhadap penyalahgunaannya," katanya ketika ditemui Bernama pada Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Muar hari ini.
"Lagipun, tiada jalan pintas untuk berada di podium selain daripada berusaha bersungguh-sungguh," katanya mengulas kecenderungan atlet-atlet bina badan menggunakan steroid pada masa ini.
Abdul Malek berkata Malaysia mempunyai ramai bakat baharu yang berpotensi diketengahkan di peringkat dunia, namun ia menjadi sia-sia jika mereka tidak mempunyai disiplin tinggi.
Beliau berkata ketika era kegemilangannya dahulu, beliau tidak mendapat sebarang bantuan makanan tambahan dan pelbagai kemudahan sepertimana dinikmati atlet masa kini, tetapi masih mampu berjaya hasil semangat yang tinggi.
"Semangat atlet dahulu kental dan tidak pernah pudar kerana ia tidak bertunjangkan kepada materialistik, tetapi berdasarkan kekuatan mental, jati diri dan impian telus untuk mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia," katanya.
Justeru, Abdul Malek berkata atlet sekarang perlu menyedari bahawa mereka bertuah kerana disediakan segala bantuan dan kemudahan yang relevan bagi membolehkan mereka mencipta aksi terbaik pada setiap kejohanan.
"Saya tidak nampak alasan mengapa mereka gagal mara ke peringkat tertinggi kerana segala kemudahan seperti peralatan, pemakanan dan sains sukan disediakan kerajaan," katanya.
#atlet bina badan #atnet negara #berita sukan #generasi semasa #malek noor #pengambilan steroid
;