Maldives mahu timba pengalaman menentang Harimau Malaya
Bernama
Disember 13, 2022 06:00 MYT
Disember 13, 2022 06:00 MYT
PETALING JAYA: Perlawanan persahabatan Tier 1 menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam ini akan menjadi platform penting untuk meningkatkan tahap bola sepak negara kepulauan kecil Maldives.
Tanpa mengambil kira keputusan aksi persahabatan tersebut, ketua jurulatihnya, Francesco Moriero hanya mahu anak buahnya menunjukkan elemen tertentu untuk mencabar pasukan Malaysia.
Pengendali dari Itali berusia 53 tahun itu, yang pernah bermain untuk pasukan Serie A AS Roma dan Inter Milan, menyifatkan perlawanan menentang pasukan nombor 146 dunia, Malaysia, sebagai ujian penting bagi anak buahnya.
"Kami tidak mahu memikirkan keputusan muktamad kerana saya suka bola sepak positif dengan intensiti tinggi dan permainan yang teratur. Ia akan menjadi sangat penting bagi pasukan untuk mengubah mentaliti pemain apabila berdepan dengan pasukan besar dalam perlawanan intensiti tinggi.
Ia juga sangat penting bagi pemain mendapat minit permainan dan kecergasan perlawanan selepas kali terakhir beraksi pada September lalu manakala Liga (Dhivehi Premier), (yang berakhir pada Ogos) hanya akan bermula pada Mac depan," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, pada Selasa.
Maldives, sebuah negara kecil dengan lebih 540,000 penduduk dan menghuni ranking 154 dunia, menewaskan Brunei 3-0 dan Laos 3-1 dalam perlawanan persahabatan pada September lalu dan dijadualkan menentang Singapura, Sabtu ini.
Sementara itu, pemain pertahanan Maldives, Samooh Ali, berkata skuad 'Red Snappers' bersedia memberi cabaran kuat kepada skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon walaupun terdapat perbezaan standard bola sepak.
"Malaysia adalah pasukan yang kuat, mereka memainkan taktikal yang lebih pantas dan intensiti yang sangat tinggi. Tetapi kami akan memberikan perlawanan yang sukar dan ia akan menjadi pengalaman yang baik menentang Malaysia," katanya.
Sebagai rekod, Maldives berdepan Malaysia sebanyak empat kali, namun mereka tewas kesemua perlawanan dengan aksi terakhir pada 2018 berakhir dengan kekalahan 3-0.
Selepas menewaskan Kemboja 4-0 Jumaat lalu, pertemuan dengan Maldives adalah aksi persahabatan terakhir bagi skuad Harimau Malaya sebelum menghadapi kempen Piala AFF 2022 yang akan membuka tirainya bermula 21 Dis ini.
-- BERNAMA
#harimau Malaya
#perlawanan persahabatan
#Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur
#Francesco Moriero
#Brunei