Malaysian Tigress B-20 mula langkah kiri di Phnom Penh
Sinar Harian
Mac 10, 2023 07:45 MYT
Mac 10, 2023 07:45 MYT
SKUAD bola sepak Bawah 20 tahun (B-20) wanita negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024, langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Kemboja dalam perlawanan di Stadium Smart RSN, Phnom Penh, pada Jumaat.
Gol tunggal perlawanan dijelmakan penyerang sensasi tuan rumah, Tun Kimhong selepas menyudahkan hantaran Heng Sovanmony pada minit ke-94.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysian Tigress B-20 kendalian Cameron Ng itu tidak mempunyai pilihan kecuali menang sekurang-kurangnya tiga gol tanpa bolos ke atas Myanmar bagi menyalakan peluang ke pusingan kedua.
Myanmar kini memimpin kumpulan dengan tiga mata iaitu sama mata dengan Kemboja, namun dipisahkan jaringan akan berdepan Malaysia dalam perlawanan terakhir, Ahad ini.
"Keputusan yang mengecewakan tambahan pula gol pada masa kecederaan, namun itulah bola sepak.
"Sebenarnya pemain Malaysian Tigress B-20 telah memberikan aksi terbaik masing-masing.
"Perlawanan terakhir menentang Myanmar, kita tiada pilihan kecuali menang untuk mara ke pusingan seterusnya.
"Namun kami akan memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan keputusan yang positif," kata Cameron Ng selepas perlawanan pada Jumaat.
Lapan juara kumpulan akan meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 11 Jun depan.
Sementara itu, empat daripada lapan pasukan terbaik akan meraih tempat ke pusingan akhir di Uzbekistan pada 2024. - Sinar Harian