Malaysia tidak banyak beza dengan Jepun - Jeremy

Astro Arena
Januari 21, 2019 07:39 MYT
JEREMY: Setiap negara mempunyai sekurang-kurangnya satu pasangan beregu campuran yang baik.
JURULATIH badminton beregu campuran Jepun, Jeremy Gan, berpandangan tidak wujud perbezaan yang terlalu ketara daripada segi budaya kejurulatihan dalam membentuk gandingan mantap di antara Malaysia dan Negara Matahari Terbit itu.
Sejak dilantik mengisi jawatan itu pada November 2017, sentuhan Jeremy semakin membuahkan hasil.
Ia dapat dilihat menerusi gandingan Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama Jepun memenangi Kejohanan Seluruh England tahun lalu.
Watanabe-Higashino meraih gelaran Masters Malaysia 2019 semalam selepas mengatasi gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taeattanachai, 21-18, 21-18 dalam final.
Pilihan utama itu turut menewaskan gandingan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam aksi separuh akhir.
"Sistem kejurulatihan di sana hampir sama dengan di sini.
"Kami sentiasa bekerjasama untuk menghasilkan skuad yang mantap.
"Setiap pemain memberikan komitmen yang tinggi dan kami sebagai jurulatih juga perlu memberikan komitmen yang sama.
"Keadaan itu memberikan suasana latihan yang baik," katanya.
Sentuhan Jeremy sebagai jurulatih turut mempunyai kredibiliti tersendiri.
Ketika bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), dia membantu Peng Soon-Liu Ying menjadi gandingan beregu campuran pertama negara meraih gelaran dalam kejohanan berstatus terbuka.
Sewaktu mengemudi bahagian beregu lelaki, dia meraih pencapaian terbesar dengan membantu Goh V Shem-Tan Wee Kiong meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.
Tumpuannya kini adalah untuk membantu Watanabe-Higashino memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun tetap berwaspada dengan prestasi pencabar-pencabar lain.
"Peng Soon-Liu Ying serta Goh Soon Huat-Shevon Lai turut memberikan aksi yang baik dalam kejohanan ini (Masters Malaysia).
"Setiap negara mempunyai sekurang-kurangnya satu pasangan beregu campuran yang baik.
"Kita tidak boleh melihat hanya kepada kelemahan mereka kerana setiap gandingan pasti mempunyai kekuatan tersendiri.
"Apa yang penting, setiap jurulatih perlu mencari jalan bagi mempertingkatkan mutu setiap pemain," tambahnya.
#badminton #beregu campuran #Jepun #jeremy gan #jurulatih #pemain negara #prestasi pemain #sukan
;