Malaysia, Thailand buat perhitungan di final double, regu
Bernama
Mei 21, 2024 23:50 MYT
Mei 21, 2024 23:50 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad negara berjaya mencapai sasaran layak ke final acara regu dan double divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dalam suasana cukup meriah dan beremosi di Stadium Titiwangsa di sini, malam ini.
Gandingan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin terlebih dahulu menceriakan kira-kira 1,000 penonton apabila mara ke final selepas menundukkan Myanmar 2-0 dalam aksi separuh akhir yang mendebarkan.
Gandingan Myanmar Zin Min Oo dan Shein Wunna Zaw terpaksa akur dengan kehebatan pasangan negara di set pertama apabila tewas 15-10 sebelum bangkit memberikan tentangan sengit bagi memburu kemenangan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, ketenangan dan pengalaman Aidil Aiman-Muhammad Noraizat yang merupakan pemenang pingat perak acara double Sukan SEA edisi 2021 dan 2023 menjadi pemisah apabila berjaya bangkit daripada ketinggalan di hujung permainan untuk mencatat kemenangan 17-16.
"Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini, saya mahu berterima kasih kepada Presiden PSM (Persatuan Sepaktakraw Malaysia) sebab percayakan kami untuk galas tanggungjawab dalam acara double, saya bermain untuk beliau juga," kata Aidil Aiman ketika ditemui pemberita selepas aksi separuh akhir.
Muhammad Noraizat pula berkata:" Saya bersyukur sangat (dengan kemenangan) sebab ini adalah Piala Dunia, bagi saya besar (prestij kejohanan), jadi ini adalah salah satu pencapaian terbaik saya untuk kategori double."
Menanti Malaysia di final yang dijadual berlangsung esok adalah juara bertahan Thailand yang menundukkan Indonesia 2-0 (15-8, 15-13) dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"Untuk final dengan Thailand, sama juga (sengit), saya rasa esok lagi mencabar untuk dapatkan kemenangan, tapi apa pun kami akan cuba sehabis baik dan akan beri lebih baik daripada hari ini, 200 peratus," kata Aidil Aiman.
Rentak cemerlang Malaysia diteruskan dalam aksi separuh akhir regu selepas trio Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) mengatasi Myanmar dibarisi Zin Ko Ko, Min Thant Thu dan Phay Nyein Chan Khin Maung Cho 2-0 (15-3, 15-11).
Di pentas final esok, Malaysia akan membuat perhitungan menentang juara bertahan Thailand selepas 'raja sepak takraw' dunia itu menepati ramalan dengan mudah menumpaskan Filipina 2-0 (15-4, 15-8).
"Kami ada satu langkah lagi dan akan beri permainan yang lebih baik, lebih puas hati...mindset kami di sini memang tak mahu ada tekanan, jadi esok (permainan) akan lebih baik, saya rasa akan ada keajaiban esok," kata Mohamad Azlan.
Ketua jurulatih kebangsaan Ahmad Jais Baharun yang gembira dengan pencapaian pasukan mara ke pentas akhir percaya tidak mustahil anak buahnya mampu mencipta kejutan ke atas Thailand dalam kedua-dua final esok.
"Harapan saya bagi saingan esok barisan pemain dapat pamerkan prestasi yang jauh lebih baik daripada malam ini kerana kita sedar bahawa cabaran lawan Thailand sangat besar.
"Tetapi kita takkan mengalah, kita akan cuba pamerkan semangat juang tinggi, mutu permainan terbaik dan harap pemain akan buat kejutan malam esok, tiada yang mustahil," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menonton dan memberikan sokongan kepada pasukan negara di sini.
Sementara itu, final saingan divisyen satu esok menyaksikan Iran bertemu Taiwan bagi acara regu dan double.
-- BERNAMA