Malaysia tewaskan Vietnam 4-0 Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean
Bernama
Disember 6, 2016 13:01 MYT
Disember 6, 2016 13:01 MYT
Malaysia memulakan kempen Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN 2016 penuh bergaya selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada perlawanan pembukaan Kumpulan B hari ini.
Pada aksi di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN) itu, skuad negara mendahului 1-0 sebaik berakhir babak pertama, dengan gol dijaringkan Edelson Dell Evaristus pada minit ke-24.
Babak kedua bersambung menyaksikan Malaysia terus menguasai perlawanan sehingga dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Aqif Ikhwan pada minit ke-74, sebelum Razilawali meledak dua gol pada minit ke-79 dan 90 untuk mengesahkan kemenangan pasukan negara.
Malaysia akan bertemu Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan B, Rabu ini, manakala Vietnam dijadual menentang Myanmar, esok.
Sementara itu, dalam aksi pembukaan Kumpulan A menyaksikan Thailand mencatat kemenangan besar membelasah Kemboja 14-0, manakala Indonesia menundukkan Laos 6-4.
Thailand dijadual bertemu Laos, sementara Kemboja akan menentang Indonesia di Padang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada aksi kedua Kumpulan A, esok.
Kejohanan dari 4 hingga 10 Dis itu merupakan kejohanan julung kali diadakan di peringkat ASEAN dalam usaha membuktikan orang pekak juga mampu menganjurkan temasya sukan serta bersukan seperti orang normal. -- BERNAMA