Malaysia teruskan rentak cemerlang

Astro Awani
Disember 30, 2012 07:25 MYT
Pasukan Malaysia Bawah 15 tahun meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Pilihan Incheon 2-0 pada perlawanan kedua Kumpulan A Piala Antarabangsa Frenz 2012 di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Kejayaan membenam Slavia Prague 5-0 pada aksi pembukaan jelas memberi keyakinan tinggi buat skuad negara untuk turun bertemu Incheon.
Mendominasi aksi di awal permainan, skuad bimbingan S. Balachandran itu garang membuka tirai jaringan pada minit ke-17 apabila R. Kogileswaran bijak menyempurnakan peluang di depan gol.
Tersentak, lawan dari Korea Selatan itu bangkit melakukan asakan bagi memburu gol penyamaan, namun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan.
Skuad negara kemudiannya kembali menyusun rentak untuk melebarkan kedudukan dan hasilnya pada minit ke-29, Kogileswaran sekali lagi menemui sentuhan jaringan.
Mendahului dua kosong pada babak pertama, skuad negara meneruskan asakan pada babak berikutnya.
Bagaimanapun, mereka gagal menambah jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal, tamat sepenuh masa sekaligus mencerahkan peluang ke separuh akhir.
#bola sepak #piala antarabangsa frenz 2012 #pilihan incheon
;