Malaysia terus dirundung malang, dibelasah New Zealand 0-6
Bernama
Oktober 15, 2019 04:38 MYT
Oktober 15, 2019 04:38 MYT
Skuad remaja negara terus dirundung malang apabila dibelasah 0-6 berdepan dengan New Zealand dalam aksi ketiga Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2019 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini, malam ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Nur Saiful Zaini Nasiruddin gagal melakar kemenangan pertama apabila sekadar seri 1-1 bertemu Australia dua hari lepas, dan tewas 2-4 bertemu India dalam aksi pembukaan Sabtu lalu.
Anak buah Bryce Collins yang berjaya melakar kemenangan pertama menerusi aksi malam tadi, bermula garang dan tidak teragak-agak mengkucar-kacirkan benteng pertahanan tuan rumah.
Sebaliknya, skuad muda negara jelas gagal menemui rentak permainan sepanjang perlawanan selain gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjaringkan gol.
Gol pertama dan kedua New Zealand, masing-masing dijaringkan menerusi gol padang Moss Jackson pada minit ke-19 dan Maks Wyndham Smith (minit ke-23).
Benji Edwards kemudian menambah derita pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-26 dan 33.
Pasukan pelawat terus ghairah menambah jaringan apabila meledak gol kelima dan keenam, masing-masing melalui pukulan sudut penalti Dylan Thomas pada minit ke-45 dan Benji Edwards yang turut menyempurnakan jaringan hatrik pada minit-47.
Pada perlawanan petang tadi menyaksikan juara bertahan Great Britain semakin hampir mara ke pentas akhir apabila menundukkan Australia 1-0, sekali gus melakar kemenangan ketiga mereka.
Gol tunggal skuad kendalian Jon Bleby itu hadir seawal minit pertama menerusi gol padang Jamie Golden, dan anak buah Ben Bishop cuba bangkit menyamakan kedudukan, namun keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.
Dalam perlawanan lain, Jepun meraih tiga mata pertama apabila mengejutkan pasukan pilihan, India 4-3.
Skuad kendalian Kyoichi Mori yang sebelum ini tewas dua perlawanan kepada Australia dan Great Britain, berjaya merobek gawang lawan seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Wataru Matsumoto dan Kosei Kawabe pada minit ke-22, juga melalui jaringan sama.
Ketinggalan dua gol, anak buah B J Kariappa berjaya bangkit dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Gursahibjit Singh pada minit ke-31, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Jepun menyumbat masuk gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti Keita Watanabe pada minit ke-33.
Jepun memperoleh gol keempat pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti Kosei Kawabe, manakala gol kedua dan ketiga India disempurnakan Nand Sharda Tiwari pada minit ke-38 dan Pratap Lakra pada minit ke-53, kedua-duanya menerus pukulan sudut penalti.
Pada aksi keempat esok, Malaysia akan bertemu Great Britain, India berdepan Australia, manakala New Zealand menentang Jepun.
-- BERNAMA
#Australia
#Bryce Collins
#Dylan Thomas
#hoki
#Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Sultan Johor
#Maks Wyndham Smith
#Moss Jackson
#Nur Saiful Zaini Nasiruddin