Malaysia tersungkur, Thailand ke final Piala AFF

Astro Awani
Disember 13, 2012 07:17 MYT
Selepas bergelut memburu kejuaraan, Harimau Malaya akhirnya tersungkur di bumi Bangkok apabila tumpas 2-0 di tangan Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF semalam.
Kemenangan tersebut membawa skuad Gajah Putih ke pentas final dengan keputusan agregat 3-1.
Terikat 1-1 di Bukit Jalil, Thailand yang menerima kunjungan Malaysia di Stadium Supachalasai mempunyai kelebihan gol tempat lawan. Hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan untuk mara, tuan rumah yang beraksi tanpa jurulatih Winfried Anton Schafer hampir di depan menerusi percubaan Teerasil Dangda.
Aksi kemudiannya bertukar dramatik menuju rehat apabila pengadil Lee Min Hu melayangkan kad merah kepada pemain negara Fadhli Shas kerana pertengkaran dengan pemain Thailand Datsakorn Thonglo.
Tindakan pengadil dari Korea Selatan itu jelas mengubah situasi perlawanan pada babak kedua. Malaysia yang beraksi tempang akhirnya dibolosi menerusi penyudah berbisa Teerasil pada minit ke 60.
Lima minit kemudian, Theerathon Butmathan menjaringkan gol kedua untuk menceriakan hampir 20,000 penyokong tuan rumah.
Kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat sekaligus meranapkan impina Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan.
Aksi akhir Thailand menentang Singapura pada 19 dan 22 Disember ini.
#Datsakorn Thonglo #Fadhli Shas #Malaysia #Piala AFF #Teerasil Dangda #Thailand #Theerathon Butmathan
;