Malaysia tersingkir daripada kejohanan skuasy berpasukan wanita dunia

Bernama
September 14, 2018 04:55 MYT
Perancis selaku pilihan keenam mendahului saingan selepas pemain nombor lima dunia, Camille Serme mengalahkan Datuk Nicol David (gambar) pada perlawanan pertama. - Gambar fail
Cabaran Malaysia pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018 berakhir selepas tumpas 0-2 kepada Perancis di peringkat suku akhir di Dalian, China, pada Jumaat.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan berdepan Amerika Syarikat pada perlawanan penentuan tempat kelima-kelapan, manakala Perancis akan bertemu Mesir di pentas separuh akhir.
Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung Sabtu.
Mesir mara ke peringkat empat pasukan terbaik selepas menewaskan New Zealand 2-1, sementara Amerika Syarikat tumpas 1-2 kepada Hong Kong dalam satu lagi aksi suku akhir.
Pada aksi Jumaat, Perancis selaku pilihan keenam mendahului saingan selepas pemain nombor lima dunia, Camille Serme mengalahkan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David; 11-9, 11-2 dan 11-5 pada perlawanan pertama, demikian menurut laman sesawang kejohanan, www.wsfwomensteams.com.
Pemain nombor 34 dunia, Coline Aumard mengesahkan kemaraan Perancis ke separuh akhir apabila menumpaskan juara kebangsaan, S. Sivasangari 8-11, 11-8, 11-8 dan 11-8 dalam perlawanan kedua.
Enam belas pasukan mengambil bahagian pada kejohanan dwitahunan itu.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Camille Serme #China #Dalian #Malaysia #Mesir #Nicol David #Perancis #Skuasy #suku akhir
;