Malaysia tempah tiket final Liga Hoki Dunia FIH
Bernama
Mac 12, 2017 09:12 MYT
Mac 12, 2017 09:12 MYT
Skuad negara menempah tiket ke perlawanan akhir selepas membenam Mesir 5-0 dalam perlawanan separuh akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh pada Sabtu.
Beraksi menentang pasukan ranking ke-20 dunia di Stadium Hoki Moulana Bhasani, anak buah Stephen van Huizen bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah kubu Mesir.
Menurut Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam laman webnya www.fih.ch , Razie Rahim memecah kebuntuan apabila cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-15.
Fitri Saari menggandakan jaringan pada minit ke-25 juga menerusi pukulan sudut penalti.
Tengku Ahmad Tajuddin menambah satu lagi gol menerusi jaringan padang di akhir suku kedua untuk skuad kebangsaan selesa mendahului 3-0 pada masa rehat.
Bemula suku ketiga, Shahril Saabah dan Aiman Nik Rosemi membuktikan mereka adalah peledak berbisa negara dengan menjaringkan gol keempat dan kelima pada minit ke-44 dan 49 menerusi jaringan padang.
Menurut FIH, skuad Malaysia akan berdepan pemenang separuh akhir yang menyaksikan pertembungan China dan Oman, untuk aksi final yang dijadualkan berlangsung Ahad.
Dua pasukan yang beraksi di pentas akhir akan layak ke Pusingan Ketiga Liga Hoki Dunia, yang bakal menjadi medan bagi merebut tempat ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India. -- Bernama