Malaysia tambah satu lagi pingat emas di Kejohanan Wushu Dunia
Astro Arena
November 17, 2015 22:00 MYT
November 17, 2015 22:00 MYT
Skuad wushu kebangsaan menambah satu lagi pingat emas dan tiga pingat perak pada hari keempat Kejohanan Wushu Dunia ke-13 2015 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, pada Selasa.
Loh Jack Chang mempamerkan aksi meyakinkan untuk meraih pingat emas dalam acara Taijiquan lelaki, sekali gus mengatasi pencabar terdekatnya dari Myanmar Nyein Chan Ko Ko yang meraih pingat perak diikuti peserta dari Macau, Chong Ka Seng untuk pingat gangsa.
Semalam, atlet berusia 28 tahun, yang juga pemenang pingat emas dalam disiplin yang sama di Sukan SEA Singapura itu, turut meraih pingat gangsa dalam acara Taijijian lelaki.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet dari China, Ma Jian Chao dan pingat perak diraih Araya Tomohiro dari Jepun.
Pada hari ketiga kejohanan semalam, Malaysia meraih dua pingat emas menerusi Ho Mun Hua dalam acara Nandao lelaki dan Chan Lu Yi dalam acara Tajiquan wanita.
Sementara itu Wong Weng Son secara peribadi menambah dua lagi pingat perak untuk skuad negara menerusi acara Qiangshu dan Changquan lelaki manakala pingat perak ketiga hari ini diraih gandingan Chai Fong Wei dan Phoon Eyin dalam acara Duilian wanita.
Pada hari pertama kejohanan pada Sabtu lepas, Wong meraih pingat gangsa dalam acara Jianshu lelaki.
Malaysia setakat ini menduduki tangga keempat dengan tiga emas, empat perak dan empat gangsa manakala kuasa besar acara itu, China mendahului carta pungutan pingat dengan tujuh pingat emas.
Tuan rumah, Indonesia ditempat kedua dengan enam emas, satu perak dan enam gangsa dan diikuti Hong Kong dengan lima emas, empat perak dan satu gangsa.
Pada kejohanan di Kuala Lumpur dua tahun lepas, Malaysia meraih empat pingat emas, lima perak dan lima gangsa.
Sebanyak 78 negara mengambil bahagian dalam acara wushu yang mahu mencuri perhatian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi membolehkan acara itu tersenarai dalam temasya Sukan Olimpik di Tokyo pada 2020.