Malaysia singkir Wales untuk ulangan final 2014 dengan Singapura

Bernama
Julai 31, 2022 07:10 MYT
Karen Lyne (kiri) bersama Ho Ying membalas hantaran lawan Wales pada perlawanan separuh akhir berkumpulan wanita, Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada Ahad. --fotoBERNAMA
BIRMINGHAM: Skuad ping pong wanita negara hanya selangkah lagi untuk melakar sejarah bagi menuai emas sulung negara dalam acara berpasukan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila layak ke final.
Pada pertarungan mendebarkan saingan separuh akhir Ahad, skuad negara menewaskan Wales 3-2.
Acara final bakal menyaksikan ulangan final edisi 2014 di Glasgow apabila Malaysia bertemu Singapura yang melangkah ke final selepas menewaskan Australia 3-0 pada satu lagi perlawanan separuh akhir.
Singapura mengecewakan Malaysia 3-0 pada final 2014.
Pada aksi separuh akhir, beregu gangsa edisi 2018 Gold Coast, Australia, Ho Ying-Karen Lyne membuka kempen dengan kemenangan mudah 11-7, 11-5, 11-5 ke atas pasangan Chloe Thomas Wu Zhang-Anna Hursey.
Wales kemudian menyamakan kedudukan selepas Charlotte Carey terpaksa berhempas pulas sebelum menjinakkan Alice Chang, 7-11, 11-8, 11-7, 7-11, 11-7.
Wales kemudiannya mendahului apabila Hursey mengatasi Karen 11-6, 11-9, 11-13, 11-9 tetapi Chang menebus kesilapan kerana tewas kepada Carey dengan mengalahkan Wu Zhang, 11-3, 13-11, 11-5.
Susulan kedudukan terikat 2-2, semuanya terpulang kepada Ho Ying untuk meraih mata kemenangan dan itulah yang dilakukannya ketika menewaskan Carey, 7-11, 11-9, 10-12, 11-7, 11-8, dalam pertarungan lima set.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel Birmingham 2022 #Ho Ying-Karen Lyne #ping pong wanita #Chloe Thomas Wu Zhang-Anna Hursey
;