Malaysia-Singapura berpeluang bida Sukan Olimpik di masa depan - Tunku Imran
Bernama
Mac 1, 2017 22:00 MYT
Mac 1, 2017 22:00 MYT
Agenda Olimpik 2020 yang diperkenalkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 2014 mungkin membuka peluang kepada Malaysia untuk membida bagi penganjuran Sukan Olimpik yang berprestij itu di masa depan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar optimistik bahawa jika kos bidaan untuk menganjurkan temasya Olimpik dapat dikurangkan, Malaysia mungkin berpeluang untuk membida bagi penganjuran sukan itu.
Beliau berkata satu daripada cadangan untuk merealisasikan usaha itu adalah secara bergabung dengan Singapura untuk membuat bidaan bersama.
Ketika diminta mengulas lanjut, Tunku Imran bagaimanapun berkata: "Masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang perkara itu, bagaimanapun, kami telah mengadakan perbincangan antara dua pihak.
"Kedua-dua bandar raya (Malaysia dan Singapura) mempunyai kemudahan yang lengkap misalnya hotel, lapangan terbang dan kemudahan pengangkutan yang selesa. Jika mereka (IOC) mengurangkan kos bidaan agar lebih rendah atau terdapat sistem yang lain. Saya rasa ia lebih munasabah.
"Saya tahu Singapura berusaha dengan cara yang sama, mereka tidak mahu terlibat dalam bidaan yang terlalu mahal," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Terdahulu, Tunku Imran menjadi anggota panel Kongres Kesatuan Penulis Sukan Asia (AIPS-Asia) 2017 di Hotel Concorde di sini.
Agenda Olimpik 2020 merupakan pelan halatuju strategik bagi masa depan pergerakan Olimpik yang melindungi keunikan Sukan Olimpik dan memperkukuhkan sukan dalam masyarakat.
Antara bidang utama yang digariskan dalam Agenda Olimpik 2020 adalah; perubahan kepada prosedur pencalonan, dengan falsafah baharu untuk mengundang calon bandar raya yang berpotensi untuk membentangkan projek yang bersesuaian dengan keperluan perancangan jangka panjang bagi sukan, ekonomi, sosial dan alam sekitar mereka.
Ia turut memberi penekanan kepada mengurangkan kos bidaan, dengan mengurangkan bilangan perwakilan yang dibenarkan dan menyediakan sumbangan kewangan yang signifikan daripada IOC.
Sementara itu dalam majlis berkenaan, Tunku Imran berkata kongres antarabangsa pada hari ini akan membantu meningkatkan lagi pembangunan industri media sukan di rantau ini.
"Peranan media dalam mempromosi sukan amat dipuji dan dihargai. Saya sendiri sebagai seorang ahli sukan dan kini menjadi anggota IOC, telah menyaksikan bagaimana sukan dan kewartawanan sukan semakin berkembang sejak tahun-tahun kebelakangan.
"Berita tentang atlet dan kisah di sebalik titisan darah, keringat dan air mata mereka -- dilaporkan dan disiarkan menerusi platform media yang berbeza dengan penuh kebanggaan, pengorbanan dan komitmen di Malaysia, Asia dan seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata kebangkitan era digital telah membentuk semula sektor media.
Sempadan antara media tradisional dan media digital kini semakin kabur.
Pertembungan media adalah suatu realiti.
"Media sosial menjadi semakin penting dalam penyebaran berita. Kajian menunjukkan bahawa Facebook menjadi wadah yang sering digunakan di negara membangun untuk menyebar berita.
"Terdapat cabaran dan halangan baharu. Organisasi media kini berdepan pelbagai perubahan. Kepantasan dalam menyebarkan berita amat luar biasa, namun itulah hakikatnya. Persoalan tentang kesahihan berita turut dibangkitkan, integriti adakalanya dikompromi dan model perniagaan media yang lama telah runtuh," katanya. -- Bernama