Malaysia selangkah pertahan kejuaraan BATC selepas tewaskan Jepun

Bernama
Februari 17, 2024 22:23 MYT
Lee Zii Jia memulakan kempen negara dengan baik apabila menyumbang mata pertama dengan mudah menewaskan Kenta Nishimoto, 21-18,21-15. - Gambar fail
PASUKAN lelaki negara hanya selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran apabila mara ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan separuh akhir di sini hari ini.
Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia memulakan kempen negara dengan baik apabila menyumbang mata pertama dengan mudah menewaskan Kenta Nishimoto, 21-18,21-15 pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvesyen Setia City di sini.
Momentum kejayaan itu diteruskan pasangan pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila bangkit untuk menewaskan Akira Koga-Taichi Saito 15-21, 21-17, 21-10.
Bagaimanapun pemain perseorangan Leong Jun Hao yang dilihat bersemangat tidak melepasi halangan Koki Watanabe apabila dibenam 21-19, 12-21,19-21 dalam masa 88 minit perlawanan.
Kehadiran Goh Sze Fei-Nur Izzudin Nur Rumsani kembali menceriakan kem negara apabila sekali lagi menjadi penyumbang mata kemenangan dalam masa 54 minit perlawanan ke atas Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-15, 21-19.
Esok, Malaysia akan berhadapan perlawanan getir bertemu China pada jam 4 petang, selepas negara tembok besar itu mengalahkan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Pada edisi dua tahun lalu yang berlangsung di venue sama, skuad negara berjaya muncul juara buat kali pertama selepas mengatasi Indonesia 3-0 di pentas final.
Dalam pada itu, perlawanan akhir wanita pula menyaksikan India dan Thailand akan melakukan perhitungan jam 10 pagi esok.
India menyingkirkan Jepun 3-2 dan Thailand menewaskan Indonesia 3-1 pada aksi separuh akhir.
Sementara itu, Zii Jia yang terpaksa direhatkan kerana masalah resdung pada aksi suku akhir menentang Taiwan semalam memaklumkan beliau masih belum mencapai tahap kecergasan seratus peratus hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun berkata sokongan peminat tempatan telah menaikkan semangatnya untuk berjuang menyumbang mata berharga buat pasukan negara.
"Bukan 100 peratus hari ini tapi kita tidak mahu berlaku macam semalam. Selagi keadaan baik, saya pasti mahu beraksi di final," katanya.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #BATC #badminton #Kejohanan Badminton Berpasukan Asia
;