Malaysia sekadar tambah tiga emas pada hari ke-15

Bernama
Disember 19, 2013 08:57 MYT
Acara terjun yang membuka tirai Rabu tidak menghampakan apabila menyumbangkan dua dari tiga pingat emas kepada kontinjen negara pada hari-15 Sukan SEA Myanmar.
Penerjun veteran, Cheong Jun Hoong meraih emas acara 3m papan anjal manakala penerjun cilik negara, Muhammad Nazreen Abdullah unggul dalam acara 10m platform individu lelaki.
Lebih membanggakan pada acara sukan yang berlangsung di Pusat Akuatik Wunna Theikdi yang mempertandingkan dua acara akhir itu, penerjun Malaysia membolot dua tempat teratas dalam kedua-dua acara berkenaan.
Satu lagi emas negara menerusi Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi lelaki dan kejayaan atlet berusia 21 tahun itu sekali gus memastikan penguasaan Malaysia dalam acara berkenaan sejak 1977.
Pencapaian emas dari Nauraj itu adalah yang ketiga daripada sukan olahraga di Myanmar setakat ini, selepas Muhammad Irfan Shamsuddin memenangi acara lempar cakera dan Mohd Jironi Riduan dalam acara 800m lelaki.
Selepas 15 hari temasya itu berlangsung, kontinjen negara meraih keseluruhan 30 pingat emas, 30 perak dan 55 gangsa untuk kekal di tempat kelima.
Thailand masih menguasai carta kutipan pingat dengan 73 emas, 66 perak dan 62 gangsa, mengatasi Vietnam di tempat kedua dengan 54 emas, 52 perak dan 62 gangsa.
Myanmar kembali di tempat ketiga dengan 53 emas, 45 perak dan 49 gangsa sementara Indonesia turun satu tangga ke tempat keempat dengan 50 emas, 60 perak dan 71 gangsa.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London, Pandelela Rinong Pamg akan mengetuai cabaran Malaysia dalam acara terjun yang menawarkan dua lagi pingat emas hari ini dalam acara 10m platform wanita dan 3m papan anjal lelaki.
Saingan hari ke-16 pada Khamis juga bakal menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee berdepan Indonesia di separuh akhir acara bola sepak.
Satu lagi perlawanan separuh akhir akan menyaksikan pertemuan antara Thailand dan Singapura.
#kontinjen malaysia #pingat emas #SEA Games #Sukan SEA #Sukan Sea Myanmar
;