Malaysia sedia jadi tuan rumah AUG 2026 - Mustapha

Bernama
Jun 24, 2024 23:26 MYT
Mustapha berkata penganjuran AUG 2026 di Malaysia juga berpotensi memberi peluang untuk negara membuat persediaan terbaik bagi menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2027. - Gambar fail/Sinar Harian
SURABAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026, kata Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata Jemaah Menteri pada Khamis lepas telah meluluskan perkara tersebut namun keputusan akhir sama ada Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi temasya sukan dwitahunan itu akan ditentukan dalam dalam mesyuarat teknikal Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) di sini, esok.
"Kita tahu keputusannya tapi pihak kerajaan memang sudah bersedia. Dari segi hospitaliti kita mahu pastikan penganjuran nanti adalah terbaik di peringkat ASEAN ini.
"Ini juga adalah antara produk pelancongan untuk kita angkat negara kita supaya menjadi tarikan pelancongan di ASEAN dan seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas beramah mesra bersama kontinjen negara yang akan beraksi di AUG 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata penganjuran AUG 2026 di Malaysia juga berpotensi memberi peluang untuk negara membuat persediaan terbaik bagi menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2027.
Beliau berkata sebagai persedian bagi pengajuran AUG 2026, KPT komited untuk memastikan fasiliti dan kelengkapan venue ditambah baik sebelum penganjuran temasya sukan berprestij berkenaan.
"Bila kita sudah menjadi tuan rumah, kita perlu berusaha, kami komited untuk pastikan bahawa prasarana sukan kita dalam tahap yang memuaskan dan tidak akan mendapat aduan daripada mana mana atlet nanti," katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata AUG merupakan pentas terbaik untuk melahirkan barisan atlet yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
"Fokus kita adalah untuk melahirkan atlet negara. Bukan sahaja terbaik dari sudut akademik tetapi mereka juga adalah atlet berjaya. Jadi kombinasi ini penting untuk kita tonjolkan kepada generasi muda," katanya.
Terdahulu Mustapha telah berjumpa kontinjen negara untuk memberi tonik motivasi kepada para atlet sebelum beraksi pada temasya sukan yang akan membuka tirainya esok hingga 6 Julai ini.
Kontinjen negara disasarkan untuk membawa pulang 35 pingat emas pada temasya sukan yang berlangsung di dua lokasi iaitu di sini serta Malang.
-- BERNAMA
#ASEAN #Kementerian Pendidikan #pelancongan #Sukan SEA
;