Malaysia sasar tujuh emas di Kejuaraan Silat Dunia 2022

Bernama
Julai 20, 2022 19:27 MYT
Datuk Megat Zulkarnain Omardin bagaimanapun tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada 36 pesilat negara yang bertanding dalam 32 acara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menyasarkan tujuh pingat emas pada Kejuaraan Silat Dunia 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, dari 26 hingga 31 Julai ini.
Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, bagaimanapun, berkata beliau tidak mahu memberikan sebarang tekanan kepada 36 pesilat negara dalam 32 acara dipertandingkan.
Antara nama besar yang akan menyertai kejohanan itu ialah juara dunia tiga kali. Mohd Al Jufferi Jamari, Mohd Fauzi Khalid dan srikandi silat negara yang merangkul pingat perak pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Mei lepas, Siti Rahmah Mohamed Nasir.
"Saya tidak mahu menyebut nama sesiapa yang disandarkan membawa pulang pingat sebab setiap pesilat mempunyai kemampuan sendiri dan saya yakin dengan kebolehan mereka untuk beraksi cemerlang di pentas besar itu.
"Ini juga adalah peluang terbaik untuk Malaysia mencipta kejayaan memandangkan ia adalah satu kelebihan untuk beraksi di tanah air yang sudah pasti akan membakar semangat kontinjen negara," katanya kepada pemberita selepas simbolik penyerahan Jalur Gemilang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain merasakan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) pada pentas dunia berkenaan dapat membantu melancarkan kejuaraan tanpa isu melibatkan keputusan kontroversi pengadil perlawanan.
Beliau juga berkata perkara berkenaan perlu dilaksanakan dalam usaha mengangkat martabat pencak silat di mata dunia dalam usaha menempatkan diri di temasya Sukan Olimpik pada masa hadapan.
Megat Zulkarnain pada masa sama tidak menolak Malaysia berkemungkinan akan menerima cabaran sengit daripada negara luar setelah dua tahun kejuaraan ini tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID-19.
Sebanyak 490 negara dijangka mengambil bahagian termasuk negara rantau ASEAN, India, Pakistan, Kazakhstan, Uzbekistan, Amerika Syarikat, Belanda dan Jerman.
Diminta mengulas mengapa memberi kebenaran kepada Mohd Al Jufferi untuk menyertai kejuaraan tersebut walaupun belum pulih sepenuhnya, Megat Zulkarnain berkata beliau yakin dengan kemampuan pesilat itu di pentas terakhir buat dirinya sebelum bersara.
Mei lalu, Mohd Al Jufferi mengalami kecederaan bahu kanan ketika pertarungan di Sukan SEA Hanoi yang menyaksikan beliau hanya mampu membawa pulang pingat gangsa selepas tewas dalam saingan separuh akhir kepada wakil Singapura, Abdul Raazaq Abduh Rashid.
Malaysia menjadi penganjur kejuaraan dunia ini buat kali kedua selepas edisi 2007 di Kuantan, Pahang.
-- BERNAMA
#kejuaraan silat dunia #Megat Zulkarnain Omardin #Pesaka #atlet silat
;