Malaysia sasar lima pingat emas di APDG ke-10

Bernama
Disember 2, 2024 06:00 MYT
Hannah (lima, kanan) bersama kontinjen Malaysia pada Perasmian Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik Ke-10 di sebuah hotel pada Isnin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia menyasarkan untuk merangkul lima pingat emas sebagai tuan rumah Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) ke-10 yang telah membuka tirainya, semalam, di sini.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, sasaran tersebut adalah wajar memandangkan atlet negara bakal beraksi di laman sendiri, selain mengambil kira prestasi yang ditunjukkan mereka sepanjang latihan pusat.
"Pada awalnya, sasaran adalah lebih rendah kerana persediaan adalah untuk beraksi di Iran. Namun, kerana kita menjadi tuan rumah, sasaran dinaikkan dengan keyakinan terhadap kemampuan atlet kita.
"Sukan yang disasarkan adalah badminton, olahraga, boling dan taekwondo, keseluruhannya lima emas," katanya selepas majlis perasmian APDG ke-10 oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di sini, malam tadi.
Shin Ruenn berkata, sasaran tersebut mengatasi pencapaian Malaysia pada edisi lalu di Taiwan pada tahun 2017.
Malaysia mengambil alih sebagai penganjur temasya sukan itu selepas Iran terpaksa menarik diri akibat situasi yang tidak menentu di negara tersebut.
Temasya kali disertai lebih 1,000 atlet dari 24 negara dengan sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, bola sepak, judo, taekwondo, catur, boling, ping pong dan gusti.
- BERNAMA
#APDG #Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik #pingat emas #MsDeaf
;