Malaysia sasar kekal bersaing dalam kempen ragbi siri Asia 7's

Bernama
November 8, 2021 15:22 MYT
Selepas menduduki tempat tercorot daripada keseluruhan lapan pasukan dan ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan edisi 2018, Malaysia kembali merampas slot ke Siri Asia 7's susulan kejayaan merangkul Trofi Asia 7's 2019. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menyasarkan untuk menamatkan kempen Siri Asia 7's di kedudukan ketujuh terbaik bagi mengelakkan diri tersingkir daripada kejohanan yang dijadual berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 19-20 Nov ini.
Ketua jurulatih kebangsaan Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata kejayaan menempatkan diri dalam kelompok tersebut memastikan pasukan negara dapat terus bersaing dalam kejohanan yang membariskan negara-negara kuasa besar antaranya Hong Kong, Jepun, China, Sri Lanka dan Korea Selatan.
"Misi pasukan adalah berada di kedudukan ketujuh terbaik memandangkan ini adalah kejohanan pertama selepas dua tahun, jadi kekal (dalam saingan) dan berada dalam kelompok lapan terbaik Asia adalah sasaran pasukan.
"Pemain semua mempunyai kekuatan tersendiri dan yang terpilih pada kejohanan kali ini kebanyakannya boleh bermain lebih daripada satu posisi," katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.
Selepas menduduki tempat tercorot daripada keseluruhan lapan pasukan dan ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan edisi 2018, Malaysia kembali merampas slot ke Siri Asia 7's susulan kejayaan merangkul Trofi Asia 7's 2019.
Kali ini, Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Hong Kong dan Filipina dalam Kumpulan A kejohanan berkenaan yang menjadi pusingan Kelayakan Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah 2022 sementara Kumpulan B dibarisi pasukan tuan rumah, Jepun, Sri Lanka dan China.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan beraksi di separuh akhir dan pasukan yang mara ke final layak bertanding di Piala Dunia Ragbi 7's dijadual pada September tahun depan di Cape Town, Afrika Selatan.
"Harapan saya adalah pasukan dapat memberikan persembahan terbaik dan juga bermain sehabis baik," kata Mohd Saizul sambil memaklumkan pasukannya dijadual berlepas ke UAE pada 17 Nov.
Berikut adalah senarai pemain skuad ragbi 7's lelaki dan wanita negara yang dipilih untuk membawa cabaran Malaysia pada Siri Asia 7's di UAE dari 19-20 Nov:
Pasukan Lelaki
1 Muhammad Ameer Nasrun Zulkefli (Ketua Pasukan)
2 Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi
3 Muhammad Zulhisham Rasli
4 Amalul Hazim Nasarrudin
5 Muhammad Kamal Hamidi Mohd Raihan
6 Muhammad Hasif Sharifuddin
7 Hafizie Sudin
8 Adam Ariff Alias
9 Muhd Shah Izwan Nordin
10 Muhammad Fuad Mohd Salleh
11 Wan Azley Wan Omar
12 Muhammad Safiy Md Said
Pasukan Wanita
1 Euphrasia Anne Cralis (Ketua Pasukan)
2 Cindy John Pasan
3 Fidelia Limang Anak Telajan
4 Wan Zufirah Mohd Nasir
5 Josie Mavcellina Gone
6 Norfarahana Abd Aziz
7 Afiqah Fatinah Mohd Izan
8 Nur Izzah Azizan
9 Shania Suinani Baduk
10 Nur Syazana Muhamad Zahir
11 Maslina Ahmad Ismail
12 Christina Edris
#Ragbi #Siri Asia 7's #Mohd Saizul Hafifi Md Noor #UAE