Malaysia perlu sembilan emas capai sasaran di Hanoi
Bernama
Mei 18, 2022 07:00 MYT
Mei 18, 2022 07:00 MYT
HANOI: Kontinjen negara memerlukan sembilan lagi pingat emas bagi mencapai sasaran 36 emas setelah berakhir hari ke-11 Sukan SEA Hanoi, semalam.
Berbaki lima hari sebelum temasya edisi ke-31 itu melabuhkan tirai pada Isnin depan (23 Mei), harapan peminat sukan tanah air pastinya mahu melihat kem negara dapat mencapai sasaran tersebut selepas pencapaian agak mendatar dalam tempoh beberapa hari lepas.
Beberapa acara final melibatkan atlet Malaysia seperi memanah, gimnastik seirama, berbasikal kriterium, angkat berat dan karate diharapkan dapat menghadiahkan kilauan emas.
Pada saingan semalam, barisan atlet negara menyumbangkan empat pingat emas, empat perak dan lapan gangsa menjadikan kutipan keseluruhan kontinjen negara sebanyak 27 emas, 32 perak dan 63 gangsa untuk kekal berada di kedudukan keenam.
Pingat emas pertama negara semalam, disumbangkan skuad golf negara menerusi gandingan Ervin Chang, Marcus Lim Pang Chuen, K. Rhaasrikanesh dan A. Nateeshvar (pemain simpanan) dalam acara berpasukan lelaki, sekali gus menamatkan 21 tahun kemarau emas dalam acara tersebut.
Pasukan golf wanita yang dibarisi Jeneath Wong dan Mirabel Ting turut cemerlang apabila menghadiahkan pingat perak selepas tumpas kepada pasukan pilihan Thailand, pada aksi final.
Skuad karate negara muncul pasukan paling cemerlang dalam penyertaan atlet Malaysia semalam apabila menyumbangkan dua emas dan dua gangsa.
Dua wakil negara yang membuat penampilan sulung pada temasya kali ini, C. Shahmalarani dan H. Sureeya Sankar tidak menghampakan apabila masing-masing meraih emas dalam acara kumite bawah 55kg wanita dan kumite bawah 67kg lelaki.
Pingat gangsa acara karate pula menerusi S. Prem Kumar dalam acara kumite bawah 60kg dan Muhammad Aiqal Asmadie dalam acara kata individu lelaki.
Di kolam renang, selepas mengumpul tiga pingat perak, perenang muda Khiew Hoe Yean mencipta sensasi dengan menghadiahkan pingat emas kepada kem Malaysia dalam acara 200 meter gaya bebas lelaki.
Acara lain yang menyumbangkan pingat kepada Malaysia semalam adalah memanah dengan satu perak dan tiga gangsa, menembak (1 perak), olahraga (1 perak, 1 gangsa) dan ping pong (dua gangsa).
Namun, kem olahraga negara serba tidak menjadi dalam saingan semalam apabila Malaysia gagal mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara selepas penyertaan Muhammad Azeem Fahmi dibatalkan dalam acara 100m lelaki.
Malaysia mengungguli acara riben biru itu bagi dua edisi sebelum ini menerusi Khairul Hafiz Jantan pada 2017 di Kuala Lumpur dan Muhammad Haiqal Hanafi di Filipina pada 2019.
Malah, penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi lelaki Sukan SEA sejak 2005, berakhir apabila Nauraj Singh Randhawa sekadar meraih pingat perak.
Malaysia memenangi pingat emas lompat tinggi lelaki dalam setiap edisi Sukan SEA sejak 1977, kecuali pada Sukan SEA 2005 di Manila yang menyaksikan Nguyen Duy Bang dari Vietnam meraih emas.
Selepas berakhir hari ke-11 Sukan SEA Hanoi, tuan rumah Vietnam kekal mendahului carta kedudukan pingat dengan 126 emas, 76 perak dan 74 gangsa, diikuti Thailand 53-59-80, Filipina 37-49-65, Singapura 37-39-49 dan Indonesia di tempat kelima dengan 36-49-49.
Selain beberapa acara menawarkan pingat emas melibatkan atlet Malaysia pada hari ke-12, tumpuan pastinya kepada skuad 'Harimau Muda' yang akan berdepan tuan rumah Vietnam yang juga juara bertahan dalam aksi separuh akhir bola sepak lelaki hari ini.
-- BERNAMA