Malaysia perlu kekang corak permainan pantas Vietnam - Irfan Fazail

Astro Arena
November 22, 2016 15:38 MYT
IRFAN: Masih banyak yang perlu diperbaiki.
TONGGAK tengah negara, Irfan Fazail, mengakui bahagian tengah perlu bermain lebih tertutup dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 menentang Vietnam, petang esok.
Irfan membentuk gandingan tengah bersama Baddrol Bakhtiar ketika pertemuan menentang Kemboja, Ahad lalu.
Dia sedar masalah itu perlu segera diperbaiki supaya tidak memberi ruang kepada Vietnam untuk menguasai permainan.
"Masih banyak yang perlu diperbaiki di mana kami sering tak dapat memenangi bola kedua.
"Itu semua perlu diperbaiki untuk perlawanan dengan Vietnam yang sudah diketahui sebuah pasukan yang bagus.
"Dah tentu kami akan bermain secara tertutup di mana pemain Vietnam memiliki kepantasan. Kami akan cuba mengawal kawasan tengah bagi menguasai perlawanan," katanya.
Irfan, bagaimanapun, muncul pencetus jaringan pertama Harimau Malaysia ketika berdepan Kemboja apabila hantarannya berjaya disudahkan dengan cantik oleh Syazwan Zainon untuk gol penyamaan skuad negara.
Khidmatnya dijangka terus ditagih dan mungkin kali ini akan digandingkan bersama dua perancang tengah membabitkan Baddrol dan S. Veenod.
"Bagi saya, tiada masalah untuk digandingkan dengan sesiapapun.
"Semua pemain akan memberi aksi terbaik untuk negara, jadi tiada masalah untuk siapa-siapa yang diberi peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama."
#berita bola sepak #Harimau Malaysia #Irfan Fazail #Piala Suzuki AFF #skuad kebangsaan
;