Malaysia mungkin tidak sertai Sukan Para ASEAN

Bernama
Mac 30, 2022 04:30 MYT
Megat D Shahriman berkata jika Malaysia tidak menyertai Sukan Para ASEAN ke-11, tumpuan akan beralih ke Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Para Asia Hangzhou. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia berkemungkinan tidak akan menghantar atlet ke temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia yang dijadual bermula 23 hingga 30 Julai ini.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata kebarangkalian untuk tidak menghantar kontinjen negara disebabkan perancangan yang tidak teratur selain tiada sebarang pengesahan daripada kerajaan Indonesia mengenai penganjuran temasya sukan itu.
Beliau berkata keputusan muktamad mengenai penyertaan kontinjen negara akan diputuskan selepas Mesyuarat Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) yang dijangka diadakan pada minggu pertama April ini.
"Kita dapat jemputan daripada NPC (Jawatankuasa Paralimpik Nasional) Indonesia pada 26 Mac untuk Sukan Para ASEAN tetapi dua hari lepas saya dimaklumkan APSF masih tiada hitam putih daripada kerajaan Indonesia mengatakan ia boleh dianjurkan.
"Kami juga terima maklumat empat negara tidak menghantar penyertaan mengikut nama dan tidak akan menghantar kontinjen iaitu Brunei, Vietnam, Laos dan Kemboja," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus kepada bekas atlet kebangsaan di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bukit Kiara, semalam.
Megat D Shahriman berkata Mesyuarat BoG APSF akan datang amat penting untuk melihat sejauh mana tahap ketersediaan negara penganjur dalam mengendalikan temasya sukan itu memandangkan masa semakin suntuk.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara tersebut selepas kontinjen negara sudah pun membuat persiapan rapi menghadapi temasya sukan tersebut.
"Kami mahu menghantar pasukan terbaik, untuk mempunyai organisasi terbaik tetapi sehingga sekarang kami tak dapat apa-apa maklum balas. Insya-Allah minggu depan saya akan buat kenyataan sama ada kita akan menghantar atlet atau temasya itu sendiri penganjurannya dibatalkan atau tidak," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata Malaysia telah mengesahkan penyertaan lebih 200 atlet ke temasya sukan dwitahunan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata jika Malaysia tidak menyertai Sukan Para ASEAN ke-11, tumpuan akan beralih ke Sukan Komanwel Birmingham yang dijadual berlangsung hujung Julai depan dan Sukan Para Asia Hangzhou pada Oktober, dengan persediaan untuk dua temasya sukan itu kini berjalan lancar.
-- BERNAMA
#Megat D Shahriman Zaharudin #Sukan Para ASEAN #Indonesia #Majlis Sukan Negara
;