Malaysia melepasi jumlah pingat emas di Myanmar
Astro Arena
Jun 14, 2015 10:49 MYT
Jun 14, 2015 10:49 MYT
Kontinjen negara kini sudah melepasi jumlah pungutan pingat emas yang diperolehi pada Sukan SEA ke-27 di Myanmar dua tahun lepas.
Pada temasya sukan itu kali ini, Malaysia sudah mencapai 45 pingat emas.
Selepas hari kesembilan, Malaysia kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul sejumlah 147 pingat iaitu 45 pingat emas, 43 perak dan 59 gangsa.
Pada temasya di Myanmar dua tahun lepas, kontinjen negara mengumpul 158 pingat -- 43 emas, 38 perak dan 77 gangsa.
Acara sepak takraw menjadi tumpuan kontinjen negara kerana mengulangi pencapaian pingat emas acara regu lelaki selepas 10 tahun.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara tersebut adalah pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina.
Acara akhir yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapura, Malaysia yang dibarisi Farhan Adam (kapten), Mohd Hanafiah Dolah, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Ahmad Aziat Mohd Nor Azmi menewaskan Laos 2-0 (21-10, 21-16).
Sementara skuasy seperti dijangka menyapu bersih empat pingat emas selepas memenangi dua lagi dalam acara berpasukan.
Bagaimanapun Malaysia tidak menyertai acara beregu yang pertama kali dipertandingkan dalam Sukan SEA kali ini.