Malaysia Masters: Pasangan Anna-Mei Xing mara ke peringkat suku akhir
Bernama
Julai 7, 2022 20:57 MYT
Julai 7, 2022 20:57 MYT
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu wanita negara Anna Ching Yik Cheong-Mei Xing Teoh berjaya membalas dendam apabila mereka mengejutkan pasana pilihan kelima Wakana Nagahara-Mayu Matsumoto dari Jepun untuk melangkah ke peringkat suku akhir Malaysia Masters 2022, esok.
Pasangan nombor 37 dunia itu menguasai permainan di kedua-dua set, dan mengambil masa 38 minit untuk menewaskan pasangan Jepun itu dengan 21-11, 21-15.
Keputusan itu bermakna Anna-Mei Xing berjaya membalas dendam selepas tewas kepada pasangan itu dalam saingan peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2022 minggu lepas dengan 15-21, 21-23.
Bercakap kepada media selepas perlawanan itu Mei Xing, berkata kemenangan itu benar-benar sukar sukar dipercayai kerana mereka sama sekali tidak menjangka akan dapat menundukkan pasansan dari Jepun itu pada awalnya.
"Kami lega melihat beberapa kesilapan dilakukan oleh pasangan lawan, yang membantu kami untuk mengambil peluang sepenuhnya, dan terus mengekalkan momentum, akhirnya kami berjaya," katanya.
"Kami kalah di tangan mereka minggu lepas kerana mental yang tidak kuat, tapi kini kami dapat rasakan yang kami dapat menangani tekanan dengan lebih baik,' katanya kepada pemberita di Axiata Arena, di sini hari ini.
Anna-Mei Xing akan mendapat peluang untuk membuat kejutan sekali lagi esok apabila berhadapan dengan pasangan nombor 11 dunia, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong dari Korea Selatan.
Pasangan dari Korea Selatan itu mara selepas mereka berjaya menewaskan pasangan Febby Valencia Dwijayanti Gani-Ribka Sugiarto dari Indonesia dengan 23-25, 21-17, 21-18.
-- BERNAMA